Aspirasi guru cacat penglihatan
Khairunnisa Kasnoon
Mei 15, 2014 15:04 MYT
Mei 15, 2014 15:04 MYT
"Saya rasa bertanggungjawab untuk pastikan murid-murid yang seperti saya dapat belajar, sekurang-kurangnya berjaya seperti saya,"
Itu iltizam seorang guru yang cacat penglihatan terhadap anak-anak muridnya.
Berusia 31 tahun, Wan Mohd Suhaimi Wan Mohd Zawil Abidin memasang impian untuk menjadi seorang guru sejak kecil.
Tidak pernah meletakkan kekurangan dirinya sebagai kekangan untuk mengajar, guru yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan ini mahu membuktikan, mereka yang istimewa juga mampu berjaya seperti insan lain.
"Jadi saya rasa kebertanggungjawaban itu lebih tinggi. Saya bertanggungjawab untuk pastikan anak murid saya lebih berjaya. Kalau saya boleh berjaya kenapa anak murid saya tidak boleh berjaya," jelasnya ketika di temu bual Astro AWANI.
Melihat cabaran setiap guru itu sama, Suhaimi bagaimanapun berkata, perjalanan memberi didikan itu ada bezanya.
Mengambil contoh guru sepertinya yang mengajar di sekolah pendidikan khas, ia memerlukan seseorang guru itu lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan anak murid memahami setiap mata pelajaran yang diajar.
"Saya nak pastikan bagaimana anak murid saya boleh menerima apa yang saya sampaikan. Dengan kelemahan murid itu ,dengan kekurangan mereka, bagi saya agak sukar. Ini kerana saya sendiri mempunyai masalah penglihatan dan saya berada di alam yang sama seperti mereka. Saya nak pastikan mereka terima apa yang saya ajar itu agak sukar, " ujarnya menceritakan cabaran mengajar di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur.
"Guru pencetus kreativiti, dimana didalam kelas, langkah pertama adalah memastikan murid kita berjaya di luar sekolah. Dengan adanya kreativiti yang ditunjukkan oleh guru, sebagai contoh, kreativiti mengajar, kreativiti memimpin, kreativiti mendidik anak murid mereka dapat serapkan dalam diri dan terapkan dalam jiwa untuk bawa ke luar, sekiranya seorang guru berkreativiti kurang menarik, guru akan jadi kurang menarik dan anak murid akan jadi kurang minat untuk belajar, " tambahnya.
Suhaimi turut menekankan, setiap guru itu perlu punyai daya motivasi yang tinggi ketika mengajar.
" Apabila kita ada motivasi yang tinggi , saya yakin, kita akan merasakan setiap murid itu adalah tanggungjawab kita dan akan mendidik sebaik mungkinn untuk pastikan sekurang-kurangya mereka dapat apa yang diajari. Dari 10 markah, dapat 1 markah dari apa yang kita ajar, itu sudah memadai," jelasnya lagi.
Beliau berharap anak-anak murid istimewa ini akan terus tabah dan memberi kepercayaan kepada guru untuk mendidik mereka.
"Untuk anak-anak murid saya, semoga mereka terus tabah dan terus beri kepercayaan kepada guru-guru untuk mengajar dan mendidik mereka," harapnya mengakhiri perbualan.
Jelas semangat kental guru istimewa ini wajar dihargainya dan pengobanan setiap guru dalam mendidik harus dikenang hingga akhir hayat.
Selamat Hari Guru.