Seimbangkan isu di media sosial kunci keharmonian kaum - Rais

Astro Awani
Ogos 31, 2014 14:01 MYT
Seimbangkan isu di media sosial kunci keharmonian kaum - Gambar fail
Rakyat perlu bijak menyeimbangkan perkara di dalam media sosial supaya tidak terjerumus di dalam perkara negatif yang boleh merosakkan masa depan negara.
Penasihat Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan kepada kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, kemajuan dunia internet yang mempengaruhi pemikiran anak bangsa sehingga menjadi salah satu medium penyebar perkara negatif harus dikawal supaya keharmonian antara kaum sentiasa terjaga.
"Soal ini harus dirumus sebagai kemajuan fizikal yang memberangsangkan hari ini, namun ia harus dikawal agar tidak mempengaruhi anak muda untuk tidak menghormati kaum.
"Kita harus sedar kemajuan rohaniah dan keharmonian negara berada pada tahap yang perlu dipertingkatkan lagi, lihat kejayaan negara kini dan kita perlu lihatnya lebih gemilang pada masa hadapan," katanya ketika ditemui sempena hari Kemerdekaan Negara ke-57 di sini.
Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) turut menyifatkan kejayaan negara hari ini merupakan hasil kerjasama semua kaum dan melibatkan pelbagai pihak.
"Ia adalah sumbangan pemimpin perjuangan lampau sehingga kita menjadi sebuah negara yang disegani selepas 57 tahun merdeka.
"Kita kini perlu tetap pendirian dan tidak mengubah pegangan kerjasama dan bersatu yang sekian lama dipegang. Jangan hidup jadi caca marba dan satukanlah nilai-nilai murni serta disiplin yang ada di dalam generasi kita selama ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Rais menegaskan, anak-anak muda harus diajar untuk menggunakan teknologi dan menghasilkan rekaan canggih terutama berkenaan media sosial.
"Jangan harapkan Facebook dan internet orang luar, kita patut buat facebook dan internet versi kita sendiri," jelasnya.
Rais kini berusia 73 tahun dan merupakan salah seorang veteran politik negara.
Memulakan kerjaya politik dengan menjadi Setiausaha Parlimen, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Timbalan Menteri Undang-undang dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Rais juga pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sehingga tahun 2013.
#kaum #kerajaan #Malaysia #menteri #Merdeka #politik #Rais #UIA
;