Penjawat awam perlu terjemah erti kemerdekaan, tingkatkan prestasi

Bernama
Ogos 19, 2014 16:55 MYT
Gambar Hiasan
Penjawat awam perlu terjemahkan erti kemerdekaan dengan meningkatkan prestasi dan semangat patriotisme, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Beliau berkata sempena sambutan hari kemerdekaan negara, penjawat awam juga perlu menilai semula peranan dan tanggung jawab mereka bagi memastikan kejayaan negara.
"Kejayaan negara hari ini juga adalah usaha tanpa jerih perjuangan kita pada suatu ketika dahulu bagi melihat sebuah negara bangsa yang bebas, diperintah dan ditadbir sendiri oleh rakyatnya," katanya semasa melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2014 peringkat Kompleks C di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tan Sri Mahmood Adam dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda.
Katanya penjawat awam akan tetap mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda patriotisme sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 meskipun diselubungi kesedihan ekoran kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan tragedi MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.
"Jadi, walaupun nampak mudah iaitu hanya kibar bendera, tetapi di sini letaknya jiwa dan raga kita, meletakkan harapan bagi melihat negara kita jauh lebih maju, lebih hebat daripada apa yang ada sekarang.
"Seperti yang diucapkan Perdana Menteri semalam (pada sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang), Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain bercorak tetapi tersimpan sebuah pengertian dan seribu makna yang sangat mendalam," kata Mohamad Zabidi.
Menurutnya sebagai penjawat awam, sokongan dan semangat cintakan negara akan diteruskan walaupun negara dilanda pelbagai insiden dan dugaan akhir-akhir ini.
Katanya insiden kehilangan MH370 dan nahas MH17 turut menunjukkan negara terdedah kepada pelbagai ancaman bukan sahaja dalam bentuk fizikal, tetapi juga ancaman terhadap ekonomi, penyebaran berita palsu, fitnah dan sebagainya terutamanya melalui media sosial.
"Di sinilah peranan kita sebagai penjawat awam dalam menyokong dasar-dasar negara dan kesetiaan kepada pemimpin walaupun dalam dilanda fitnah," katanya.
#kemerdekaan #Mohamad Zabidi Zainal #patriotisme #penjawat awam #prestasi
;