Pelajar SMK Darul Ehsan jayakan pelbagai projek Jalur Gemilang

Bernama
Ogos 20, 2014 14:21 MYT
Guru dan pelajar SMK Darul Ehsan melaungkan laungan Merdeka sambil mengelilingi Jalur Gemilang yang dihasilkan dari batu kerikil. - Foto BERNAMA
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan, Selayang menzahirkan rasa cinta kepada negara dan semangat patriotisme melalui pelbagai projek berkaitan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan hari kebangsaan itu.
Antara projek yang dijayakan oleh pelajar ialah mencipta Jalur Gemilang diperbuat daripada batu kelikir, menyiapkan dua set Jalur Gemilang dalam masa lima hari, berukuran 25m x 15m setiap satu serta sekolah itu juga dihiasi dengan ratusan bendera Jalur Gemilang pelbagai saiz.
Dua set Jalur Gemilang itu berjaya disiapkan oleh 50 pelajar tingkatan enam bersama 10 guru.
Guru dan pelajar SMK Darul Ehsan melaungkan laungan Merdeka sambil mengelilingi Jalur Gemilang yang dihasilkan dari batu kerikil. - Foto BERNAMA
Selain tu setiap laluan di kawasan sekolah dinamakan bersempena enam perdana menteri Malaysia, iaitu Laluan Tunku Abdul Rahman, Laluan Tun Abdul Razak, Laluan Tun Hussein Onn, Laluan Tun Mahathir Mohamad, Laluan Tun Abdullah Badawi dan Laluan Datuk Seri Najib Razak.
Pelajar juga mendirikan replika seperti bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Tugu Negara.
Mengulas perkara itu, Pengetua sekolah, Noraizan Brahim berkata penglibatan pelajarnya dalam projek itu jelas menunjukkan rasa cinta pelajar kepada negara dan mempamerkan semangat patriotisme yang tinggi.
"Mereka bersemangat dan bersedia menyumbang masa dan tenaga untuk projek ini dan saya begitu bangga dengan semangat membara pelajar-pelajar ini," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Moderator kempen dan guru, Mohd Khairulizham Ramli berkata dalam menyiapkan projek itu banyak cabaran dilalui termasuk cuaca tidak menentu dan masa terhad kerana minggu peperiksaan tetapi berjaya disiapkan apabila pelajar sanggup bermalam di sekolah bagi tujuan tersebut.
Bagi pelajar Tingkatan Enam, Adrian Ooi beliau berpendapat: "Saya juga percaya ini bukan hanya sekadar semangat patriotisme tetapi ia sudah pasti membantu meningkatkan hubungan dan ikatan antara pelajar pelbagai kaum di sini, yang merupakan perkara paling penting".
SMK Darul Ehsan merupakan Johan Daerah Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan negara ke-57 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. - Foto BERNAMA
Kerja keras pelajar SMK Darul Ehsan berbaloi apabila menjuarai peringkat daerah Gombak dalam pertandingan kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-57, anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan sekiranya terpilih akan mewakili negeri Selangor untuk peringkat kebangsaan.
Apa yang lebih menarik, sekolah itu juga akan dikunjungi sekumpulan delegasi dari Bandung, Indonesia yang terdiri daripada 34 tenaga pengajar pada 26 Ogos, antara lain untuk melihat inisiatif pelajar menjayakan projek itu di samping menyaksikan sendiri acara sambutan kemerdekaan di sekolah berkenaan.
##KitaSama #Jalur Gemilang #Merdeka2014 #patriotisme #pelajar #semangat #SMK Darul Ehsan