Orang ramai disaran kibar Jalur Gemilang
Bernama
Ogos 19, 2014 17:09 MYT
Ogos 19, 2014 17:09 MYT
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menyarankan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, tempat kerja atau kenderaan bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara.
Katanya tema hari kemerdekaan pada tahun ini iaitu 'Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' membawa erti amat besar kepada rakyat Malaysia kerana menghargai jasa para pejuang terdahulu yang telah bergadai nyawa bagi memerdekakan negara ini.
"Jalur Gemilang adalah simbol kebanggaan kita sebagai sebuah negara, maruah dan identiti negara bagi semua warganegara. Ia adalah simbol perpaduan dan kesatuan kita sebagai rakyat Malaysia," katanya pada majlis pelancaran kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan 2014 di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan para belia agar tidak membiarkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini sepi tanpa sebarang pengisian.
Katanya golongan belia seharusnya sedar akan kepentingan bulan kemerdekaan di samping menghargai jasa para pejuang terdahulu.
Sementara itu, program Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan 2014 bermula semalam hingga 21 Ogos sebagai usaha menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan kali ini.
Program itu disertai 26 kenderaan membawa Jalur Gemilang dengan 83 peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Jalur Gemilang dan risalah akan diedarkan menerusi program ini.
Program itu dianjurkan selaras dengan objektifnya untuk meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang bangsa.
Mohamad berharap orang ramai turut bersama-sama menjayakan program itu supaya sambutan bulan kemerdekaan dapat disemarakkan.