Menemplak tanggapan: Bukan semua kaum Melayu malas, Cina tamak, India pemabuk

T K Letchumy Tamboo
Ogos 23, 2014 08:05 MYT
Stereotaip kaum boleh dikatakan sebagai sifat manusia yang wujud sejak dahulu kala lagi, lebih-lebih lagi, dalam masyarakat berbilang kaum seperti negara kita - Gambar Hiasan
Stereotaip kaum boleh dikatakan sebagai sifat manusia yang wujud sejak dahulu kala lagi, lebih-lebih lagi, dalam masyarakat berbilang kaum seperti negara kita.
Charles Hirschman, seorang ahli demografi sosial dengan kepakaran dalam isu kaum dan etnik, telah berkata dalam jurnal beliau yang bertajuk ‘The Making of Race in Colonial Malaya: Political Economy and Racial Ideology’, interpretasi masalah perkauman di Semenanjung Malaysia, adalah disebabkan oleh percanggahan antara komuniti etnik dengan tradisi budaya yang berbeza secara ketara.
Malah, setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, tahu apa yang sesuatu kaum biasanya dilabelkan, meskipun kita pada kebiasaannya mengambil langkah berhati-hati untuk tidak menuturkan kata-kata yang sensitif kepada satu sama lain.
Kita adakalanya terbiasa dengan stereotaip seperti orang Melayu adalah malas, orang Cina adalah tamak dan orang India adalah pemabuk, walaupun kebenaran di sebalik stereotaip seperti ini kurang jelas.
Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar berkata stereotaip, pada kebanyakan masa, tidak mempunyai asas.
Chandra berkata pada kebanyakan masa, stereotaip adalah tidak berasas. - Astro AWANI
Beliau berkata stereotaip wujud dalam semua komuniti dan kadang kala, ia ditujukan terhadap pihak yang lain atau adakalanya ia dituju di kalangan komuniti itu sendiri.
"Stereotaip, pada kebanyakan masanya, tidak berasas dan tidak berdasarkan fakta, kerana ia adalah sangat sukar untuk dibuktikan seperti mitos bahawa semua orang Melayu malas atau semua orang Cina tamak atau semua orang India adalah pemabuk.
“Intipati stereotaip adalah generalisasi (pandangan secara umum). Generalisasi adalah sangat berbahaya terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum.
“Seseorang tidak seharusnya membuat generalisasi kerana ia adalah sesuatu yang negatif dan ia akan menjadi sebati dengan jiwa dan kemudiannya bertukar menjadi masalah hubungan etnik," katanya kepada Astro AWANI.
Adakah semua kaum Melayu malas, Cina tamak dan India pemabuk?
Sebuah tinjauan umum yang diadakan di kalangan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mendapati tidak seorang pun daripada mereka bersetuju dengan stereotaip bahawa semua orang Melayu malas, orang Cina tamak dan orang India pemabuk, walaupun mereka mengakui bahawa generalisasi seperti ini wujud.
Azraei Idros, 24, Pegawai Insurans:
Stereotaip kaum seperti ini memang merupakan sifat manusia. Stereotaip itu kalau kita ambil secara negatif, memang impak dia akan negatif. Perspektif Melayu malas memang wujud. Malah, ketua saya pun pernah memanggil saya malas, tetapi saya mengambilnya sebagai cabaran walaupun saya berasa marah. Saya percaya semua orang malas sekiranya diberikan masa untuk berehat, bukan kaum Melayu sahaja. Ada ramai kaum Melayu yang rajin. Untuk mengubah perspektif dan stereotaip seperti ini, orang Melayu harus mengubah pemikiran mereka.
Mohd Nazrin Faiz, 25, Guru:
Saya bersetuju bahawa kaum Melayu adalah malas tetapi ia hanya 75 peratus kebenarannya. Ini kerana streotaip itu tidak terpakai untuk semua orang Melayu kerana ramai di antara mereka yang rajin. Yang malas adalah kerana mereka telah biasa dengan subsidi atau ‘tongkat’ yang diberikan. Tetapi mereka dibantu untuk pergi jauh ke hadapan bukan untuk bergantung kepada ‘tongkat’ yang diberi. Ada juga kaum Melayu yang rajin seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Apa yang penting, kaum Melayu harus mengubah cara pemikiran mereka untuk berusaha untuk maju dengan menggunakan ‘tongkat’ yang diberi itu dan bukannya bergantung kepadanya.
Suresh Kumar Karapiah, 30, Eksekutif IT:
Bukan semua kaum India adalah pemabuk, walaupun sebahagian daripada mereka minum (arak). Persepsi bahawa semua orang India adalah pemabuk mungkin wujud kerana sebilangan kecil daripada kaum India minum arak dan menyebabkan masalah. Jadi, melabelkan semua orang sebagai pemabuk adalah tidak adil. Walau bagaimanapun, untuk mengelakkan streotaip seperti ini, mereka yang minum, harus berbuat demikian secara bertanggungjawab. Masyarakat India juga turut mengubah pemikiran mereka. Kerajaan juga harus memainkan peranan yang penting dengan memberikan lebih peluang pekerjaan dan menjalankan ceramah motivasi dan aktiviti sukan supaya orang ramai tidak membuang masa dengan aktiviti yang tidak sihat.
Vincent Anthony Samy, 35, pemilik perniagaan:
Walaupun saya bersetuju bahawa kaum India minum, bukan semua orang India adalah pemabuk. Malah, mereka yang minum, kebanyakannya adalah untuk tujuan bersosial. Terdapat juga golongan yang tidak langsung minum alkohol dan golongan 'suci' dalam masyarakat India yang tidak pun langsung menyentuh alkohol. Jadi, mengggelar kesemua orang India sebagai pemabuk adalah sesuatu yag tidak boleh diterima.
SK Durai, 29, Penulis Blog:
Bukan semua masyarakat India adalah pemabuk kerana ini hanya berdasarkan persepsi dan bukti anekdot. Kalau anda lihat kepada statistik yang betul, ia mungkin memberikan gambaran yang berbeza. Pada umumnya, masyarakat lebih gemar mendengar cerita negatif daripada cerita positif. Apabila satu atau dua kes menjadi tumpuan, ia biasanya diperbesarkan dan ia diulang banyak kali oleh orang ramai. Apabila anda bertanya kepada seseorang, mereka akan berkata, ya, semua kaum India adalah pemabuk. Tetapi apabila anda meminta mereka untuk menunjukkan bukti, mereka hanya menunjukkan kepada satu atau dua kes tersebut. Jika melihat kepada peratusan berapa ramai kaum India adalah pemabuk? Kemungkinan besar, kita juga tidak berbeza daripada kaum yang lain. Ia hanyalah mitos dan juga dari segi teknikal, tidak ada data untuk membuktikannya.
Tan Suet Ling, 28, pegawai admin:
Saya akui bahawa terdapat persepsi di luar sana yang semua orang Cina tamak dan mementingkan diri sendiri. Walau bagaimanapun, ini tidak benar sama sekali. Mungkin ada satu atau dua individu dalam masyarakat Cina adalah tamak. Mana mungkin pandangan itu boleh mewakili masyarakat Cina secara keseluruhan?
Lee Suet May, 35, akauntan:
Secara peribadi, saya telah bertemu dengan ramai dari masyarakat Cina, yang akan mengetepikan sebahagian daripada pendapatan bulanan mereka untuk menderma kepada badan amal. Mereka melakukan ini secara sukarela kerana ia adalah perbuatan yang baik dan dengan niat untuk membantu mereka yang memerlukan. Sebaliknya, saya tidak pernah bertemu dengan seorang pun orang Cina yang tamak sebagai mana persepsi yang wujud. Jadi, adalah memanggil semua orang Cina sebagai tamak, wajar? Saya rasa ia tidak wajar.
Maju ke hadapan tanpa streotaip
Chandra berpendapat bahawa cara untuk mendekati hubungan dalam masyarakat berbilang kaum adalah untuk melihat manusia sebagai manusia.
"Jika anda mendapati bahawa individu itu tamak, maka, individu itu sahaja yang tamak, bukan seluruh kaumnya, tidak perlu generalisasi.
“Kita perlu membetulkan stereotaip melalui pendidikan, kesedaran dan perubahan sosio-ekonomi," katanya.
Memilih Cuba sebagai sebuah negara contoh yang berjaya membendung isu perkauman dan stereotaip kaum, beliau berkata usaha yang serius diperlukan untuk mengatasi masalah seperti ini.
"Cuba, yang mempunyai masalah stereotaip yang sangat serius, telah memerangi isu itu dengan jayanya. Segala-galanya berubah selepas revolusi Cuba ke-59, selepas usaha bersepadu digerakkan untuk menghapuskan stereotaip.
Fidel Castro, begitu komited kepada idea perpaduan -Gambar Fail
"Pemimpinnya pada masa itu, Fidel Castro, begitu komited kepada idea perpaduan dan beliau menunjukkannya melalui dasar-dasar beliau, pendidikan dan perubahan kepada corak sosio-ekonomi negara itu, dan hari ini anda mendapati bahawa Cuba adalah negara di mana stereotaip kaum tidak wujud langsung, " katanya.
#berbilang kaum #cina tamak #india pemabuk #Malaysia #melayu malas #streotaip kaum
;