Luah isu perkauman di internet bukti toleransi makin tipis - Pak Lah
Astro Awani
September 16, 2014 15:17 MYT
September 16, 2014 15:17 MYT
Sikap rakyat yang memilih untuk meluahkan perasaan marah berbaur perkauman yang tak terbatas melalui laman sosial dan portal internet membuktikan tahap toleransi dan saling menghormati di antara satu sama lain semakin berkurangan.
Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika melahirkan perasaan sedih berhubung perkara itu melihatnya sebagai satu 'kegagalan' walaupun banyak usaha telah dianjur untuk memupuk perpaduan di antara kaum.
"Lagu dan cogan kata sering diutarakan, lebih-lebih lagi di musim merayakan kemerdekaan. Memanglah lagu dan cogan kata membantu untuk membakar semangat, tapi api kian padam jika semangat ini tidak tersemat dalam jiwa. Kita mesti merdeka di hati dan bersatu di jiwa.
"Janganlah kita cuma bersatu padu bila ada keraian atau bila menyambut kemenangan. Janganlah kita hanya bersatu padu apabila berlakunya tragedi atau bencana. Semangat perpaduan mesti sentiasa kekal tersemat di hati dan bukan bermusim sahaja," katanya dalam catatan pertama laman blog peribadinya di www.paklah.net.
Blog pertama Pak Lah dibuka pada Hari Malaysia ke-51 - Gambar www.paklah.net
Perdana Menteri kelima negara dan mantan ahli Parlimen Kepala Batas itu hadir dengan blog peribadi sempena Hari Malaysia ke-51 dengan catatan pertamanya bertajuk "Erti kemerdekaan dan perpaduan" yang mengulas tentang isu perpaduan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, kata Abdullah, penyatuan kaum disifatkan sangat penting, namun bukan dengan cara menakut-nakutkan rakyat.
"Ambillah iktibar dari tragedi 13 Mei, tapi janganlah kerap mengungkit peristiwa tersebut. Kita harus pandang ke hadapan.
"Memang lumrah dunia yang manusia akan sentiasa ada perbezaan pendapat. Lebih-lebih lagi di dalam negara yang mengamalkan demokrasi," jelasnya.
Tambahnya, kerajaan yang dipilih secara demokrasi, baik Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat, patut diberi peluang untuk mentadbir.
"Begitulah juga dengan pemimpin, kalau dia telah dipilih mengikut amalan demokrasi, berilah dia peluang untuk mentadbir kerajaan secara adil dan saksama," ujarnya.
Abdullah merupakan bekas Presiden UMNO ke-6 dan dilantik menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri pada April 2009.