Lat diumum salah seorang penerima Anugerah Merdeka 2014

Marlina Manaf
September 4, 2014 19:31 MYT
Lat diumum salah seorang penerima Anugerah Merdeka 2014 - Gambar fail
Kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat terpilih sebagai salah seorang daripada enam penerima Anugerah Merdeka 2014.
Senarai nama penerima anugerah itu diumumkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang juga Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka dalam satu majlis di sini hari ini.
Lat, 63, menjadi penerima bagi kategori pendidikan dan komuniti, berdasarkan sumbangan beliau dalam mempromosi identiti budaya Malaysia menerusi penggunaan kartun bagi tujuan promosi pemahaman kalangan komuniti pelbagai etnik di negara ini.
“Apa yang mengagumkan mengenai Lat adalah beliau telah berjaya menyentuh hati rakyat Malaysia berbanding individu lain, dalam pembentukan pendapat awam, selama hampir lima dekad menggunakan medium komunikasi popular, mudah akses dan tidak mengancam iaitu kartun,” titah Sultan Perak.
Penerima lain adalah bekas Ketua Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara, Mohd Khan Momin Khan, 79 tahun bagi kategori alam sekitar.
Mohd Khan antara individu yang mendedikasikan hampir 40 tahun kajian dalam bidang haiwan liar dan pemuliharaan, serta menulis tiga buah buku berkenaan hubungan antara industri minyak kelapa sawit serta impaknya kepada biodiversiti dan alam sekitar.
Saintis, Datuk Dr Choo Yuen May, dinamakan penerima kategori kesihatan, sains dan teknologi kerana sumbangan beliau dalam bidang sains.
Yuen May merupakan saintis tersohor yang menghasilkan 823 artikel ilmiah dalam bidang minyak sawit sebagai tenaga diperbaharui, dan 60 paten kajian.
Sementara itu, Profesor Dr Abdul Latif Ahmad dan Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail dipilih sebagai penerima bersama dalam kategori Pencapaian Ilmiah Terungul menerusi kajian dan pembangunan sains polimer, rawatan air kumbahan dan teknologi pemisahan.
Sumbangan Unggul kepada Rakyat Malaysia pula diberikan kepada Datuk Earl of Cranbrook, 81 tahun, atas sumbangan menjadi perintis kajian dan pemuliharaan biodiversiti hutan Malaysia, ekologi serta biologi Malaysia.
Penerima akan menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai RM500,000.
Anugerah Merdeka diwujudkan pada 2007 oleh Petronas, ExxonMobil dan Shell.
#anugerah #ExxonMobil #kartunis #Lat #Merdeka #Perak #shell #Sultan
;