Jangan biarkan perbezaan kita memecah belahkan kita - Joseph Kurup

Cynthia Ng
Ogos 27, 2014 11:55 MYT
Joseph menyeru kepada rakyat Malaysia untuk menggunakan kepelbagaian sebagai kekuatan. -Gambar fail
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup menggesa rakyat Malaysia untuk menghentikan pertelingkahan oleh kerana perbezaan budaya di negara ini.
Sebaliknya, beliau menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk menggunakan kepelbagaian sebagai kekuatan untuk mewujudkan Malaysia yang bersatu-padu.
"Mari kita berhenti berkata kepada satu sama lain - saya betul dan anda adalah salah. Sebaliknya, katakanlah kepada satu sama lain - mari kita bekerja bersama-sama untuk menyelesaikan perbezaan kami demi perpaduan," kata Joseph ketika pelancaran kempen #saysomethingnice 2014 di Tropicana City Mall, Selasa.
"Boleh ada perbezaan tetapi jangan biarkan perbezaan memecahbelahkan kita. Biarkan ia, sebaliknya, menjadi kekuatan yang menggerakkan kita untuk ke hadapan.
"Seperti kata-kata Tunku Abdul Rahman, setiap orang mesti menghormati hak dan agama masing-masing dan bertoleransi adat masing-masing,” katanya.
Menteri yang bertanggungjawab bagi perpaduan nasional juga menggesa suara-suara sederhana untuk menjadi lebih menonjol berikutan sentimen kaum dan agama membuat tajuk utama di negara ini.
"Saya rasa sedih dengan isu sentimen kaum dan agama yang mengambil perhatian media. Ia telah menjadi lebih buruk. Jangan biarkan keadaan sekarang untuk menjadi masa depan negara kita. Kita perlu mengetengahkan suara-suara sederhana. Kesederhanaan sentiasa dalam DNA Malaysia.
Sebagai sebuah negara di ASEAN, kami sentiasa sederhana dan inklusif.
"Saya harap nilai-nilai dalam #saysomethingnice boleh diamalkan dan dijadikan budaya kita sendiri," kata menteri itu merujuk kepada kempen yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyebarkan nilai-nilai positif dan melakukan perkara yang baik dari 31 Ogos hingga 16 September sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia.
Bagaimana untuk memupuk perpaduan?
Astro Awani bertemu dengan rakyat Malaysia pada majlis itu untuk meminta pendapat mereka tentang cara terbaik untuk memupuk perpaduan.
Phang Sow Yoong, yang membesar ketika era Merdeka, berkata kanak-kanak ketika itu mempunyai kawan-kawan dari bangsa yang berbeza - sesuatu yang kurang hari ini.
"Lihatlah keadaan masa kini; kanak-kanak tidak mempunyai rakan-rakan dari kaum lain. Salah satu perkara yang sangat penting untuk mengajar anak-anak kita adalah bagaimana untuk hidup bersama-sama.
"Saya harap kita boleh mempunyai satu saluran untuk mengajar anak-anak untuk menghargai budaya kita. Kekuatan kita adalah dalam kepelbagaian kita. Jika kita boleh menggabungkan semua kekuatan ini bersama-sama, kita akan mempunyai sebuah negara yang kukuh," katanya.
Sementara itu, Soo Pin Sin merasakan terdapat keperluan untuk mewujudkan persekitaran untuk menggalakkan kanak-kanak dari pelbagai kaum untuk bergaul.
"Saya rasa kita perlu mewujudkan peluang yang lebih untuk anak-anak kita bermain, hidup, dan belajar bersama-sama supaya kita boleh menghargai antara satu sama lain dan belajar untuk mencintai budaya satu sama lain. Saya rasa perpaduan boleh dicapai jika kita mengetahui tentang antara satu sama lain."
Seorang sami New Zealand yang menghadiri acara tersebut, Nanadhaya Bhikkhu, menggesa rakyat Malaysia untuk memberi tumpuan kepada nilai-nilai positif negara.
"Saya ada akaun Facebook dan sering saya melihat rakyat Malaysia menjadi negatif dan mereka menulis tentang bagaimana seluruh dunia akan melihat mereka, terutamanya nahas dua pesawat Malaysia Airlines. Dunia tidak ketawa kepada anda; satu dunia bersama-sama anda ketika ini.
“Saya telah mengembara ke serata dunia dan saya begitu terharu dengan keramahan rakyat Malaysia. Sejak melangkan ke negara ini, saya dapat merasakan keramahan itu. Teruskan usaha itu, Malaysia," kata Nanadhaya.
##SaySomethingNice #Hari Malaysia #Merdeka #perpaduan
;