Jalur Gemilang harus dikibar setinggi, semegah mungkin - Ahmad Shabery
Bernama
Ogos 18, 2014 11:17 MYT
Ogos 18, 2014 11:17 MYT
Seperti tahun-tahun lepas pada Bulan Kemerdekaan, Jalur Gemilang juga harus dikibarkan setinggi, sebanyak dan semegah mungkin pada tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata Jalur Gemilang merupakan lambang kebebasan, kepelbagaian bangsa dan agama serta kemakmuran yang patut dihargai semua pihak.
"Kibarkan bendera adalah suatu tuntutan untuk kita zahirkan tanda cintakan tanah air, cuma kali ini kita tidak dapat raikan dengan tembakan bunga api dan ceria seperti selalu.
"Tidak mungkin kita lakukan (tembakan bunga api) di saat negara dilanda sesuatu dan Jalur Gemilang dikibarkan separuh tiang," katanya ketika berucap pada Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di hadapan Istana Kehakiman di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut hadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa serta menteri kabinet yang lain.
Shabery berkata walaupun di saat menanti kepulangan jenazah mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang memberikan kesan mendalam serta penuh kehibaan namun, tidak bererti seluruh rakyat Malaysia patah semangat.
"Di upacara ringkas dan penuh makna ini, kita cuba menunjukkan walau dugaan mendatang, tetapi kita tidak putus asa dan berkongsi kepedihan bersama keluarga mangsa MH17 dan MH370 apabila kehilangan insan yang tercinta," katanya.
Justeru, beliau menyeru semua rakyat Malaysia agar mengibarkan Jalur Gemilang tidak kira di mana jua berada, selain mendoakan agar Malaysia akan terus perkasa serta dapat mempertahankan maruah negara yang tercinta ini.