Ketika ramai yang berkongsi kesedihan dan sifat malang mangsa banjir, akaun Instagram TTFGA cuba membawa sudut pandangan yang berbeza mangsa dan keadaan banjir di Kelantan.

Pemilik akaun TTFGA, Ridduan Ismail merupakan seorang jurugambar bebas yang merakamkan peristiwa banjir di Rantau Panjang, Kelantan menerusi Instagram.

Bagi Ridduan, gambar banjir di Rantau Panjang yang diambilnya hanya menunjukkan dari sudut yang positif.

"Kenapa kita mesti sedih? Benda ini memang kita tak suka tetapi ini takdir Tuhan. Saya nak tunjuk kita tidak perlu sedih setiap masa," kata Ridduan.

Gambar Instagram/TTFGA

Ridduan turut menyifatkan banjir di Rantau Panjang kali ini agak luar biasa.

Biasanya air tidak memasuki dalam rumahnya ketika banjir kerana ia dibina pada paras yang tinggi, namun tahun ini, air banjir menaiki sehingga paras lutut di dalam rumah.

"Tahun ini agak pelik sikit. Biasanya setiap tahun kalau banjir hari ketiga air akan surut. Tetapi hari ini dah masuk hari keenam, air masih di paras dada," jelas Ridduan.

Gambar Instagram/TTFGA

Ridduan berpendapat, hujan tanpa henti sejak beberapa hari kebelakangan ini kemungkinan besar punca berlaku keadaan banjir yang agak luar biasa.

Sementara itu, Ridduan membidas pengguna media sosial yang menyebarkan khabar angin bahawa banjir akan bertambah teruk dengan beberapa fasa lagi akan melanda Kelantan.

Baginya, orang yang menyebar khabar angin itu tidak berada di kawasan banjir dan tidak pernah mengalami keadaan banjir menyebabkan mereka tidak memahami situasi sebenar menghadapi bencana itu.

Sehingga hari keenam, air masih tidak surut dan tidak mungkin akan berlaku fasa banjir seterusnya.

Gambar Instagram/TTFGA

Ridduan adalah seorang jurugambar bebas yang berkhidmat di Kuala Lumpur.

Gambar-gambarnya diambil ketika berada di kampung halamannya di Jalan Sekolah Cina, Rantau Panjang.

Gambar Instagram/TTFGA