Tindakan ala 'gentleman' Vladimir Putin viral di media sosial

Adli Effendy
November 11, 2014 19:41 MYT
Tindakan Vladimir Putin memakaikan jaketnya kepada wanita pertama China jadi perbualan di media sosial.
Ketika ini, 21 pemimpin APEC atau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik menyertai sesi pemukiman di Tasik Yangi, Beijing termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Apa yang menariknya tentang persidangan APEC ini adalah tentang apa yang berlaku semalam semasa sesi makan malam dan pembukaan. Ketika itu, hos yang juga tuan rumah APEC kali ini iaitu Presiden China, Xi Jinping sedang sibuk berbual dengan Presiden Obama di sebelah kanannya. Disebelah kirinya, isteri beliau Peng Liyuan dilihat sedang berbual dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Mungkin kerana cuaca malam agak sejuk, wanita pertama China berkenaan memulakan perbualan dengan bercerita tentang situasi suhu ketika itu. Bertindak ala ‘gentleman’, Putin bingkas bangun dan memakaikan jaket beliau kepada Liyuan. Tindakan Putin itu sempat dirakamkan lensa kamera dan turut ditonton oleh jutaan rakyat China.
Selang beberapa saat kemudian jaket Putin ditukarkan oleh pembantu Liyuan dengan jaket yang lain.
Namun begitu, insiden tersebut telah dengan cepat menjadi viral serta heboh diperkatakan melalui Weibo dan beberapa media sosial yang lain. Malah, rakaman insiden itu turut ditonton berulang kali di platform YouTube.
Laman web Washington Post melaporkan pihak penapisan China telah segera menarik balik penyebaran video berkenaan di negara itu. Selang beberapa jam, mereka telah berjaya menyekat video dan foto insiden daripada terus ditonton oleh rakyat Negara berkenaan.
#Peng Liyuan #Vladimir Putin #Xi Jinping
;