Tidak dapat terima sindiran babak korban - Khir Rahman
Umaira Uyop
November 30, 2014 08:51 MYT
November 30, 2014 08:51 MYT
Dalam pada orang rancak berbual tentang filem Lelaki Harapan Dunia yang sedang ditayang di pawagam tempatan sekarang, Khir Rahman membuat satu kenyataan yang menyentak perhatian ramai.
Pelakon dan pengarah ini melalui laman media sosialnya menyatakan kekecewaannya terhadap filem arahan Liew Seng Tat itu yang dirasakan menyindir agama Islam.
Khir memuatnaik poster beberapa filem melayu dengan 'caption' menyeru rakyat Malaysia menonton filem tempatan lain kecuali Lelaki Harapan Dunia.
Mula dikenali menerusi filem kontroversi yang memaparkan isu transgender, Anu Dalam Botol, Khir menyatakan dia boleh menerima sindiran terhadap orang Melayu yang digambarkan dalam filem itu, namun tidak dapat menerima babak korban yang disifatkan ibarat seksaan ke atas haiwan.
Bagaimanapun, sekali lagi Khir memuatnaik status memohon maaf sekiranya ada pihak berkecil hati dengan kenyataannya dan menegaskan tidak melarang sesiapa pun menyaksikan filem berkenaan.
Namun dia tetap berpegang pada pendiriannya yang merasakan babak korban dalam filem itu seperti dipermain-mainkan.
Khir tidak lupa menyatakan sokongannya kepada rakan-rakan industri dan menafikan sengaja ingin menimbulkan situasi tegang.
Sementara itu, pengarah filem yang sedang hangat diperkatakan, Liew Seng Tat memohon agar penonton tidak menghukum filem tersebut sebelum menontonnya.
Jelas kecewa dengan kenyataan tersebut, Seng Tat merasakan seseorang pembikin filem yang mencintai dunia filem tempatan tidak sewajarnya menggesa penonton memboikot atau tidak menggalakkan mana-mana penonton untuk pergi ke pawagam menyaksikan filem yang mereka tidak gemari.