Selfie di Mekah bukan satu perkara yang berdosa - Imam Muda Asyraf

Astro Awani
Oktober 5, 2014 21:34 MYT
Imam Muda Asyraf : Mengambil gambar di Mekah atau di depan Kaabah bukan satu perbuatan yang berdosa. - Gambar Fail
Persoalan hukum fenomena mengambil gambar selfie ketika menunaikan ibadah Haji menjadi tanda tanya kepada orang ramai.
Imam Muda Asyraf, 30 berkata mengambil gambar di Mekah atau di depan Kaabah bukan satu perbuatan yang berdosa.
“Dalam bab riak ini kita tidak boleh menghukum orang atas gambar selfienya itu. Kita ni kena hukum berdasarkan zahir.
“Maksudnya selagi orang itu tidak berlagak dan memberitahu kesombongannya, selagi itu kita tidak boleh mengatakan orang itu riak,” tambah beliau.
Beliau berkata gambar tersebut boleh dikatakan sekadar untuk dijadikan sebagai kenangan semata-semata.
“Orang yang mengambil selfie ni upload sebab nak berkongsi dengan orang lain dan sebab seronok berada di Kaabah. Kalau niat dia nak menunjuk-nunjuk, itu masalah dia dengan Tuhan,” katanya ketika dihubungi oleh Astro Awani.
Beliau berkata masalah yang kemungkinan akan timbul adalah apabila terdapat gangguan terhadap individu tersebut dan juga orang lain ketika melakukan ibadah haji akibat sibuk mengambil selfie.
Tabiat mengambil selfie ketika menunaikan Haji menimbulkan kemarahan golongan ulamak di Arab yang mendesak peraturan larangan mengambil gambar di kawasan ibadah Haji.
#HajjSelfie #Imam Muda Asyraf #selfie
;