Peranan hutan ada hadnya mengelak bencana banjir ketika cuaca ekstrem

Astro Awani
Januari 8, 2015 19:30 MYT
Peranan hutan ada hadnya mengelak bencana banjir ketika cuaca ekstrem - Foto Fail
Pada 5 Januari, kami mendapatkan pandangan Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam (PEKA) mengenai peranan tumbuhan hutan dalam mengelakkan bencana banjir.
PEKA menegaskan sebatang pokok dewasa boleh menampung 400 gelen air dan jika dikurangkan, ia akan jatuh ke atas penempatan manusia.
Jadi kami mendapatkan penjelasan lanjut mengenai hidrogologi daripada Prof Madya Dr Kawi Bidin dari Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah.
Bagi Dr Kawi, tumbuhan boleh dianggap sebagai soft structure atau strukrur lembut bagi mengawal banjir, hakisan dan tanah runtuh.
Bagaimanapun untuk meletakkan keyakinan secara total bahawa tumbuhan sebagai struktur yang boleh mengelak bencana banjir secara total adalah sangat kurang adil.
Dibawah ulasan penuh Dr Kawi:
"Umumnya tumbuhan hutan memainkan peranan dalam proses-proses hidrologi dan hidro-geomorfologi, masing-masing melalui proses sejat-peluhan (evapo-transpiration) yang mengembalikan wap air ke atmosfera, mengawal proses air larian permukaan serta hakisan tanah dan tanah runtuh melalui struktur tanah/tanih hutan yang baik serta sistem akar tumbuhan yang mengikat partikel-partikel tanah dan batuan.
Peranan tumbuhan hutan yang sangat penting bagi suatu kawasan tadahan adalah keupayaannya mewujudkan struktur tanah/tanih yang sangat baik sehingga mewujudkan situasi dimana kadar kekonduksian hidraulik tanah (atau air menyusup ke dalam tanah) yang lebih tinggi berbanding dengan keamatan hujan.
Dalam keadaan tersebut sebahagian besar dari air hujan yang jatuh ke lantai hutan diserap ke dalam tanah samada untuk mengekalkan lembapan tanah atau dialirkan sebagai aliran sub-permukaan sebelum sampai ke sungai atau sebahagiannya sebagai imbuhan air bawah tanah.
Melalui proses ini kehadiran tumbuhan hutan boleh mengelak atau/dan mengurangkan risiko kejadian banjir.
Bagaimanapun proses-proses yang ideal sedemikian umumnya adalah berlangsung secara ideal dalam keadaan iklim dan cuaca yang ideal juga.
Memang tidak boleh disangkalkan bahawa dalam keadaan cuaca yang agak melampau (extreme) peranan hutan yang tidak terganggu boleh mengurangkan risiko bencana sehingga tumbuhan boleh dianggap sebagai ‘soft structure’ bagi mengawal banjir, hakisan dan tanah runtuh.
Pun begitu untuk meletakkan keyakinan secara total bahawa tumbuhan sebagai suatu struktur yang boleh mengelakkan bencana banjir secara total juga adalah sangat kurang adil. Seperti juga ‘hard structure’ yang manusia bina khas untuk mengawal bencana, peranan tumbuhan juga ada hadnya.
Kita sebagai insan yang percaya kepada kuasa yang maha berkuasa perlu maklum bahawa peristiwa iklim dan cuaca melampau adalah relatif, ada yang agak melampau, melampau dan sangat melampau dengan tempoh masa berulang yang berbeza-beza.
Tumbuhan hutan mungkin boleh mengawal kejadian melampau tetapi hanya akan mampu mengurangkan sedikit kesan bagi peristiwa yang sangat melampau.
Perlu difahami bahawa tumbuhan mengawal air dalam proses yang berlangsung sepanjang tahun secara berterusan yang teratur khasnya melalui proses sejat-peluhan.
Suatu pokok tidak menyimpan air secara mendadak dalam kuantiti yang besar sekaligus dengan menyedut air dalam masa yang singkat sebanyak 400 gelen bila terdapat banyak air di dalam tanah.
Tumbuhan juga sama sekali tidak akan melepaskan semula air ke dalam tanah pada musim kemarau. Sebaliknya pada musim lembab dan cuaca redup suatu pokok akan menyerap air pada kadar yang kurang dan sebaliknya akan memerlukan air yang banyak serta melepaskannya ke atmosfera pada musim panas.
Semasa kejadian hujan, kanopi tumbuhan memintas sebahagian kecil dari air hujan dan disejatkan semula ke atmosfera. Pada waktu siang bilamana ada cahaya matahari proses perpeluhan berlaku dimana daun-daun tumbuhan melepaskan air ke atmosfera melalui liang-liang stomata.
Secara umumnya bagi kawasan tropika, sekitar 50% daripada jumlah hujan tahunan (tahun yang tiada kejadian melampau) yang diterima oleh suatu kawasan tadahan (berhutan) adalah dikembalikan ke atmosfera melalui proses sejat-peluhan ini.
Sekitar 50% lagi diserap ke dalam tanah dan dialirkan ke dalam sungai. Umumnya pada musim kering peratusan air hujan yang dikembalikan ke atmosfera adalah lebih tinggi dan sebaliknya berlaku pada musim lembab.
Pada musim yang sangat lembab, biasanya tanah/tanih dalam kawasan tadahan adalah tepu sehingga tidak mampu lagi menyerap air. Pada ketika ini sebahagian besar dari air hujan yang diterima oleh suatu kawasan tadahan akan dijana sebagai aliran permukaan.
Memang sebarang bentuk aktiviti penukaran hutan mendatangkan kesan yang buruk yang boleh mengundang kepada bencana alam. Bencana boleh berlaku tanpa perlu kejadian cuaca yang sangat melampau sekiranya pembangunan tanah tidak dibuat secara berhemah.
Kejadian banjir kilat dan tanah runtuh sering dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti seperti ini, perlu bezakan banjir kilat dan tanah runtuh (ekoran hujan lebat) dengan banjir besar serta lain-lain yg berkaitan ekoran hujan melampau.
Bagi Malaysia, jumlah curahan hujan dalam tempoh sehari sekitar 50 mm – 100 mm yang hanya berlaku beberapa kali dalam masa setahun mungkin boleh dianggap sebagai kejadian hujan lebat tetapi sekiranya berlaku beberapa hari berturut-turut ianya sudah dianggap sebagai kejadian hujan yang melampau.
Sebaliknya jumlah curahan hujan dalam masa sehari yang melebihi 100 mm mungkin sudah boleh dianggap sebagai kejadian hujan yang melampau bagi sesetenggah tempat walaupun hanya berlaku beberapa hari dalam masa setahun.
Pembalakan dan penukaran hutan bukan 100% punca banjir sebab sumber air bukan dilepaskan dari pokok-pokok tumbuhan yang ditebang tetapi sumber air adalah air hujan. Aktiviti-aktiviti hutan sedemikian hanya dipercayai meningkatkan dengan serious tahap bencana yang berkaitan dengan kejadian banjir tersebut. Konsep hidrologi dalam soalan 1 perlu difahami.
Sebaliknya pembalakan, sebarang bentuk guna tanah dan penukaran hutan telah menambah kesan dan risiko kejadian banjir. Kesan yang ketara pembalakan dan penukaran hutan adalah bahan lumpur dan bahan-bahan debris yang diangkut bersama banjir.
Pembersihan hutan untuk pertanian dan pembalakan telah mengakibatkan bahan-bahan debris kayu dan balak hanyut bersama air deras dan turut sama merosakkan infrastruktur di kawasan penempatan.
Sekiranya tiada pembalakan dan penukaran hutan, mendapan lumpur yang sangat tebal selepas banjir juga mungkin tidak berlaku. Ketinggian air banjir mungkin juga lebih rendah 1-2 meter berbanding dengan aras yang telah berlaku.
Perlu diketahui bahawa jumlah hujan yang diterima khasnya di Kelantan baru-baru ini adalah sangat tinggi, sebagai contoh di Gunung Gagau (Bahagian Kelantan), hujan lebat lampau telah berlaku selama 4 hari berturut-turut dengan keamatan diantara 300 mm – 500 mm setiap hari.
Perlu juga difahami bahawa bagi kawasan berhutan, suatu kawasan tadahan berhutan mengembalikan wap air ke atmosfera melalui proses sejat-peluhan hanya pada kadar sekitar 5 mm sehari. Pada musim lembab dan hujan kadar ini mungkin lebih rendah sebab cuaca redup dan suhu udara rendah.
Tanah/tanih juga mungkin sudah tidak mampu untuk menyerap air sebab sudah berada dalam keadaan tepu sebalikan aliran sub-permukaan melalui profil tanah turut menyumbang kepada peningkatan aliran permukaan pada ketika itu.
Perlu juga diketahui bahawa bagi kawasan tadahan yang mempunyai kepadatan tumbuhan yang rendah atau langsung tiada tumbuhan pun proses sejatan mengembalikan wap air ke atmosfera masih juga berlaku walaupun pada kadar yang lebih rendah.
Tanggapan umum orang awam berhubung dengan konsep ‘kawasan tadahan’ dari aspek hirologi perlu diperbetulkan iaitu ‘kawasan tadahan’ bukan hanya merujuk kepada kawasan hutan sebaliknya merujuk kepada keseluruhan kawasan yang menerima curahan hujan.
Kalau dari aspek sumber air bersih yang dibincangkan maka mungkin kawasan hutan bolehlah dianggap sebagai ‘kawasan tahanan yang sangat baik’. Oleh itu dari aspek menjaga alam sekitar, keseluruhan kawasan yang ada di atas permukaan bumi perlu diurustadbir dengan baik."
DR KAWI BIDIN, Pensyarah Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah
#banjir #cuaca ekstrem #hutan #Prof Madya Dr Kawi Bidin #Universiti Malaysia Sabah
;