Penulis Nicaragua, Sergio Ramirez terima Anugerah Sastera Carlos Fuentes
Umaira Uyop
Februari 24, 2015 23:10 MYT
Februari 24, 2015 23:10 MYT
Penulis Nicaragua, Sergio Ramirez Mercado menjadi penulis kedua menerima pengiktirafan salah satu anugerah paling berprestij di dunia, Anugerah Sastera Carlos Fuentes (Carlos Fuentes Literature Prize).
Ramirez dalam ucapan penghargaannya menyentuh tentang kes kehilangan 43 pelajar kolej di Iguala, Mexico sejak 26 September tahun lepas dan dipercayai sudah terkorban angkara politik serta kumpulan mafia.
Menurut penulis berusia 72 tahun itu, “Dalam dunia sekarang di mana sastera adalah sebuah cermin, takdir kehidupan hari ini bagaikan pembunuh upahan. Melihat secara keseluruhannya, sejarah kita tidak seperti kebiasaan, dalam gambaran suram tubuh-tubuh yang bertaburan di tanah gersang, sebuah tajuk utama dalam tulisan merah tentang pembunuhan beramai-ramai.”
Anugerah diserahkan oleh Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto yang mana selain pengiktirafan, Ramirez turut menerima hadiah bernilai 250 ribu dolar.
Penerima pertama Anugerah Sastera Carlos Fuentes ialah penulis Peru, Mario Vargas Llosa pada 2012, tahun sama anugerah ini mula dianjurkan.