Pengangkutan awam: Tingkat mutu servis dahulu sebelum naik harga
Umaira Uyop
Mac 19, 2015 17:00 MYT
Mac 19, 2015 17:00 MYT
Penetapan tambang baharu bagi perkhidmatan teksi, bas ekspress dan KTM Berhad mengejutkan pengguna terutama bagi mereka yang bergantung pada pengangkutan awam tersebut.
Seorang pengguna, Ibdillah Ishak berpendapat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sepatutnya melihat kepada keperluan rakyat selain meningkatkan mutu sistem terlebih dahulu.
Pengguna Mohamad Shafiei juga menyatakan, servis yang lebih baik perlu disediakan terlebih dahulu supaya selaras dengan kenaikan tambang pengangkutan awam.
Seorang lagi pengguna berpandangan, tambang baharu ini tidak mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi industri berkenaan secara menyeluruh.
Tidak kurang yang membandingkan perkhidmatan teksi di sini dengan negara maju lain.
Ada yang menyifatkan peningkatan sebanyak 40 peratus adalah terlalu tinggi.
Manakala pengguna Fajariah Kamal berharap agar gaji pekerja juga menerima kenaikan untuk menampung pelbagai perkara yang mengalami peningkatan harga.
Tambang baharu bagi teksi berkuat kuasa mulai hari ini sementara bagi bas ekspress akan bermula 15 Mei ini.
Pelarasan tambang bagi KTM Berhad pula dijangka naik sehingga 20 peratus bergantung kepada jarak perjalanan.