Pemilik kenderaan tidak terlibat dengan kejadian curi
Ian Johan Ariff
Mac 24, 2015 20:38 MYT
Mac 24, 2015 20:38 MYT
Nur Amirah Hamzah meminjam kereta kakaknya, Nur Azura, tidak sedar dengan kejadian curi beg tangan mangsa kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar tol Senawang semalam.
Menurut Amirah, dia sedang tidur dan hanya tersedar ketika kereta berhenti di sebuah stesen minyak di perhentian Ayer Keroh.
Penjelasan tersebut dibuat dalam temubual secara langsung dalam Awani 745 sebentar tadi.
Tindakan rakannya yang bernama Faiz itu bagaimanapun dirakam dengan tidak sengaja oleh pengguna lebuhraya yang berada dalam kenderaan lain dan berkongsinya di media sosial.
Video tersebut kemudian menjadi viral selepas dilaporkan laman Facebook Siakap Keli dan tindakan pencuri itu menerima kecaman hebat daripada pengguna media sosial.
Ada yang mempersoalkan bagaimana seseorang boleh tergamak untuk mencuri barangan mangsa kemalangan di tempat kejadian.
Amirah bagaimanapun menjelaskan Faiz sudah menyerahkan kesemua barangan yang diambil di IPD Melaka dan polis juga sudah mengambil kenyataan daripadanya.
Selepas video itu tersebar ke internet, Azura menulis di ruang komen pada video yang dikongsikan pada laman Facebook Siakap Keli.
Dalam komen itu, Azura menyatakan dia adalah pemilik kenderaan tersebut dan memohon maaf kerana dia bukan pemandu semasa kejadian itu berlaku.
Amirah turut membuat laporan polis untuk menjelaskan perkara sebenar dan menafikan pemilik kenderaan, Nur Azura Hamzah terlibat dalam kejadian curi itu dan mahu tindakan diambil terhadap rakannya itu, Faiz.