Pembunuhan tiga pelajar Islam di Chapel Hill sepi di media utama, tidak di media sosial
Umaira Uyop
Februari 11, 2015 19:48 MYT
Februari 11, 2015 19:48 MYT
Tiada liputan di media utama tetapi jadi bualan hangat di laman media sosial.
Insiden tiga pelajar beragama Islam maut ditembak di Utara Carolina, Amerika Syarikat mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
Rata-rata mempersoalkan mengapa kejadian ini tidak mendapat liputan media massa.
Tiga mangsa yang dikenali sebagai Deah Shaddy Barakat, 23, isterinya, Yusor Mohammad, 21, dan adik perempuannya, Razan Mohammad Abu-Salha, 19, ditembak mati di kediaman mereka di Summerwalk Circle, Chapel Hill, pada petang Selasa.
Suspek berusia 46 tahun yang dikenal pasti sebagai Craig Stephen Hicks ditahan.
Terdapat pengguna media sosial yang membandingkan tragedi itu dengan insiden Charlie Hebdo di Paris.
#chapelhillshooting turut menjadi platform mengucapkan takziah selain menyuarakan pendapat berhubung kejadian ini apatah lagi ketiadaan liputan dari organisasi media besar yang menjadi persoalan.
Semasa hayat mereka, ketiga-tiga mangsa aktif dalam kerja-kerja amal seperti membantu gelandangan dan menyertai misi kemanusiaan Palestin.