Microsoft Outlook dan Translator kini di jam tangan pintar

Shamil Hizamie
Ogos 8, 2015 10:49 MYT
Microsoft melancarkan aplikasi Outlook dan Translator buat jam tangan pintar berorientasikan Android dan Apple. -Gambar hiasan
MICROSOFT telah melancarkan beberapa aplikasi baharu untuk jam tangan pintar berorientasikan Android dan Apple.
Aplikasi berunsur produktiviti yang dimaksudkan adalah Microsoft Outlook dan Translator.
Aplikasi Microsoft Outlook membolehkan pengguna membaca emel penuh dan membalas menggunakan mesej tersedia mahupun imlak suara (voice dictation).
Istimewa buat pengguna jam tangan Android pula, versi baru OneNote dan OneDrive membenarkan pengguna menggunakan gambar yang dimuat naik dalam tempoh 30 hari sebagai paparan utama jam pintar.
Microsoft juga telah mengeluarkan aplikasi Translator buat kedua-dua platform. Pengguna hanya perlu berbicara dan jam pintar tersebut akan menterjemah kepada 50 jenis bahasa yang tersedia.
Translator juga berkebolehan untuk mengenalpasti bahasa terjemahan yang sering digunakan selain berupaya mengakses koleksi terjemahan yang lepas.
Kedua-dua aplikasi ini kini boleh dimuat turun dari iTunes dan Google Play.
#Android #iOS #iWatch #jam tangan pintar #Microsoft Outlook #Translator
;