Lizard Squad lancar serangan terbaru terhadap PlayStation Network dan Xbox live
Ian Johan Ariff
Februari 16, 2015 22:07 MYT
Februari 16, 2015 22:07 MYT
Lizard Squad melancarkan serangan baru yang melumpuhkan beberapa perkhidmatan permainan video dalam talian minggu lalu.
Ia termasuk serangan terhadap perkhidmatan permainan video Xbox Live hari ini selepas mengumumkan serangan terhadap perkhidmatan itu.
Serangan terhadap Xbox menyebabkan pengguna menghadapi masalah untuk mendaftar masuk selain mengakses senarai rakan mereka.
Daybreak Games, yang sebelum ini dikenali sebagai Sony Online Entertainment, melaporkan pelayannya diserang sehingga menyebabkan permainan pemain campuran dalam talian gagal dihubungkan.
Pada Hari Krismas tahun lalu, Lizard Squad melancarkan serangan distributed denial of service (DDoS) terhadap PlayStation yang menyebabkan ribuan permainan video baru bagi PS4 dan Xbox One mengalami gangguan.
Januari lalu, polis United Kingdom menahan dua lelaki yang dikaitkan dengan serangan DDoS pada Hari Krismas terhadap PlayStation Network dan Xbox Live.
Lizard Squad juga bertanggungjawab melancarkan serangan sistem nama domain (DNS) terhadap laman web Malaysia Airlines pada Januari lalu.