Frances Bean jelmaan semula Kurt Cobain

Ian Johan Ariff
April 9, 2015 21:13 MYT
Perangai dan tabiat Frances Bean sama seperti bapanya Kurt Cobain.
Anak perempuan vokalis Nirvana, Frances Bean adalah jelmaan semula bapanya Kurt Cobain, yang meninggal dunia 21 tahun lalu.
Itu yang diceritakan Frances selepas bertemu dengan bekas ahli kumpulan Nirvana, Dave Grohl, Krist Novoselic dan Pat Smear.
"Seperti nampak hantu, itu reaksi mereka setiap kali mereka memandang saya," kata Frances dalam satu temubual bersama majalah Rolling Stone.
Frances tidak pernah mengenali bapanya yang meninggal dunia ketika dia berusia 2 tahun.
"Mereka akan mengimbau kembali saat bermain untuk Nirvana sambil berkata perangai dan tabiat saya sama seperti bapa saya" tambah Frances.
Frances turut berkongsi pendapatnya mengenai lagu-lagu Nirvana buat pertama kali.
Bagi Frances, dia tidak begitu gemar genre muzik yang dibawakan Nirvana namun amat menggemari lagu 'Territorial Pissings' dalam album Nevermind dan lagu 'Dumb' dalam album In Utero.
Dalam temubual itu juga, Frances menceritakan pengalaman bertindak sebagai penerbit eksekutif bagi dokumentari terbaru mengenai Cobain - Montage of Heck.
Bagi Frances, Montage of Heck diterbitkan seakan bapanya sendiri yang menceritakan kisah kehidupannya dengan nilai estetik dan persepsinya terhadap dunia.
Kumpulan grunge Nirvana mula popular menerusi album Nevermind menerusi lagu Smells Like Teen Spirit pada 1991.
Lebih 75 juta unit album Nevermind dijual di seluruh dunia sekaligus melonjakkan populariti Nirvana.
Cobain ditemui mati pada 8 April 1994 apabila membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri pada usia 27 tahun.
Laporan koroner menganggarkan Cobain meninggal dunia pada 5 April iaitu tiga hari sebelum mayatnya ditemui di rumahnya.
#frances bean #Kurt Cobain #Nirvana
;