Foto TTFGA membantu mangsa banjir
Ian Johan Ariff
Februari 23, 2015 20:50 MYT
Februari 23, 2015 20:50 MYT
Ridduan Ismail yang dikenali sebagai Tukang Tangkap Foto Gembira Anda (TTFGA) di Instagram, membeli 40 tilam untuk didermakan kepada mangsa banjir dan ahli keluarganya di Rantau Panjang, Kelantan.
Dia pulang semula ke kampung halamannya untuk menyampaikan bantuan itu selepas mengutip dana yang mencukupi hasil jualan foto banjir yang dikongsi di Instagram.
Tilam dibeli atas nasihat ibunya tentang keperluan di kampung halamannya selepas banyak harta benda musnah akibat banjir.
Gambar-gambar di Instagramnya dijual semasa pameran Banjir by TTFGA yang diadakan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang hujung bulan lalu dan pertengahan bulan ini.
Ridduan sendiri tidak sangka gambarnya mencuri perhatian ramai sehingga satu hari dapat menyumbang kembali kepada orang yang memerlukan.
Selepas tiga tahun berkongsi gambar-gambar di kampung halamannya, Ridduan berasa media sosial memainkan peranan yang besar dalam menaikkan namanya.
Ridduan juga berasa kita harus memberi bantuan tidak kira besar atau kecil.
Ridduan juga memaklumkan kepada kami bahawa keadaan di Rantau Panjang kini hampir normal selepas dilanda banjir paling buruk hujung tahun lalu.
Menurutnya lagi, pekan Rantau Panjang juga sesak dengan pengunjung semasa Tahun Baru Cina termasuk warga Singapura yang datang untuk membeli-belah di pasar besar Rantau Panjang.
Ridduan merupakan seorang jurugambar jalanan yang menjadi popular selepas berkongsi gambar keadaan banjir di akaun Instagram TTFGA.