Ramai antara kita yang membesar dengan 'tone' dalam milik penyampai sukan, Datuk Hasbullah Awang mengulas perlawanan bola sepak mahupun kejohanan badminton.

Jika ada yang masih ingat, Hasbullah cukup sinonim dengan ulasannya yang mantap di perlawanan Piala Thomas 1992 yang diadakan di Malaysia dan kumpulan tuan rumah muncul juara selepas menewaskan Indonesia di Stadium Negara.

Sudah pasti ulasannya masih kekal di minda peminat-peminat sukan tanahair dalam melaungkan sorakan kemenangan sewaktu pasukan Malaysia merangkul Piala Thomas.

Seorang figura yang amat disegani, orang ramai membuat permintaan agar Hasbullah diberi peluang mengulas perlawanan terakhir kejohanan yang disiarkan secara langsung di Astro Arena itu pada tahun 2014.

Hasbullah yang dimasukkan ke fasiliti perubatan, Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada minggu lepas, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada petang Khamis selepas bertarung dengan komplikasi jantung.

Permintaan khas untuk Datuk Hasbullah Awang mengulas final Piala Thomas 2014.

Selang beberapa lama selepas berita kematian Hasbullah diuar-uarkan di media sosial, peminat sukan tanahair mula mengucapkan ucapan takziah ke atas pemergian bintang ini.

Ucapan takziah dan kenangan memori ulasannya menjadi perkongsian di media sosial terutamanya di Twitter.
Ulasan Hasbullah memang cukup terkesan di hati peminat-peminat. Ramai yang menganggap celoteh bintang ini satu hiburan.

Di laman Twitter, orang ramai berkongsi kenyataan yang tidak dapat dilupakan dibuat Allahyarham semasa mengulas sukan untuk meraikan keunikannya sebagai pengulas langsung acara sukan tanahair.
Kenangan Piala Thomas 1992 yang diulas Allahyarham dapat disaksikan di Youtube.



Dengan pemergian Hasbullah, peminat bola sepak di seluruh Malaysia berharap sebuah tifo (kain rentang) dibuat dan dikibarkan di stadium pada perlawanan liga Malaysia hujung minggu ini bagi mengenang lagenda sukan negara itu.