Bolehkah wang membeli kebahagiaan? #BringingHumanityBack
Adli Effendy
Mac 12, 2015 19:48 MYT
Mac 12, 2015 19:48 MYT
Benarkah wang boleh membeli kebahagiaan?
"Anda percaya adanya Tuhan?" tanya Varun Pruthi kepada seorang penjaja wanita yang menjual air pada harga Rs1 atau RM0.60 secawan.
Wanita itu mungkin tersentak dengan soalan anak muda itu dan menjawab ringkas,"Semua orang percaya adanya Tuhan. Mengapa pula saya tidak?"
"Baiklah, nah Rs1000.." hulur Varun kepada penjaja itu sambil menjelaskan,"Tuhan beri wang ini kepada saya untuk awak.."
Anda boleh menonton reaksi spontan wanita itu selepas tiba-tiba dihulur Rs1000 (RM60) menerusi video YouTube di bawah ini. Malah Varun turut membuat kejutan kepada beberapa orang penjaja lain lagi dengan membawa persoalan dan hadiah wang tunai yang sama.
Jelas Varun, tujuan beliau bertanyakan soalan demikian bukan kerana ingin menguji kepercayaan penjaja-penjaja itu kepada Tuhan. Tetapi adalah untuk meninjau adakah ujian seperti kesusahan, keperitan hidup dan kedaifan boleh merubah keyakinan seseorang tentang tuhan.
Varun pula tidak membantu golongan pengemis tetapi lebih berminat menghampiri golongan penjaja yang sanggup bersusah-payah menjual produk yang tidak seberapa demi sesuap nasi.
Melalui kempen #BringingHumanityBack, Varun turut mengajak penonton dan pengikutnya untuk mencuba membantu seramai mana golongan orang susah termampu. Rakamkan reaksi golongan itu & muat naik video ke internet. Kemudian ajak rakan-rakan yang lain untuk turut sama dalam eksperimen itu.
Memang menakjubkan! kempen yang Varun mulakan pada tahun lalu, masih lagi mendapat respon daripada orang ramai dan masih mendapat muat naik daripada penontonnya sehingga ke hari ini. Ini video yang dikongsi oleh penontonnya bernama Dev yang telah membantu seorang penjaja buta.
Di Amerika, Jesse dan Kong pernah mencuba eksperimen sosial yang hampir sama. Mereka menghulurkan wang tunai US$100 kepada pekerja-pekerja di restoran makanan segera. Ternyata reaksi yang mereka rakamkan sangat positif.
Ada responden yang sememangnya sangat memerlukan wang tambahan untuk membayar sewa rumah, ada yang cukup terharu malah menggunakan pula wang itu untuk membantu orang lain.
Kesimpulannya, mungkin benar wang tidak boleh membeli kebahagiaan untuk kita tetapi kebahagiaan itu jika disalurkan kepada mereka yang amat memerlukan, ia sebenarnya memberikan kebahagiaan tidak terhingga untuk orang lain.