Apa reaksi anda jika berdepan situasi keganasan domestik?
Umaira Uyop
November 15, 2014 18:06 MYT
November 15, 2014 18:06 MYT
Apa tindakan anda sekiranya melihat seorang wanita diperlakukan dengan kasar oleh lelaki di depan mata sendiri?
Adakah anda akan bertindak atau hanya mendiamkan diri?
Satu eksperimen sosial dijalankan oleh satu organisasi yang menggelarkan diri mereka STHLM Panda, untuk melihat reaksi orang awam terhadap situasi ini.
Eksperimen ini adalah salah satu usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keganasan domestik selain ingin melihat tindakan komuniti apabila berdepan dengan situasi berkenaan.
Mereka mencipta satu adegan seorang lelaki memukul dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada teman wanitanya di dalam sebuah lif dengan rakaman secara rahsia.
Amat mengejutkan apabila ramai yang mengambil sikap tidak peduli dan tidak membantu wanita tersebut.
Malah ada yang mengambil keputusan untuk terus keluar dari lif tanpa berbuat sesuatu.
Lebih mengejutkan, salah seorang daripada mereka meminta agar membenarkan dia keluar terlebih dahulu sekiranya lelaki itu terus mahu bertindak kasar.
Hanya segelintir daripada 53 orang yang memberi amaran kepada lelaki itu supaya berhenti atau mereka akan menghubungi pihak polis.
Menurut pengasas bersama STHLM Panda, Konrad Ydhage, "Ada di antara mereka yang mengatakan mahu menghubungi polis tetapi kami tahu ia tidak akan terjadi. Kami melakukan rakaman selama dua hari dan tiada pihak polis yang muncul."
Tambahnya lagi, "kami bercakap dengan hampir semua orang yang berada di dalam lif tersebut selepas ia selesai, kebanyakannya mengakui malu dengan diri sendiri kerana tidak bertindak sewajarnya dan lega kerana situasi itu hanya satu eksperimen."
Pada masa sama Ydhage menasihatkan agar masyarakat menghubungi pihak berkuasa sekiranya melihat situasi sebegini berlaku dan tidak terlibat secara langsung demi keselamatan. Mengambil tindakan dengan melaporkannya juga satu tanggungjawab penting kepada komuniti.
Setakat ini, video eksperimen berjudul "Abused in the Elevetor (Social experiment) mencecah lebih dua juta tontonan di laman YouTube.