Yuna ajak wartawan majalah 'Conde Nast Traveler' makan nasi lemak
Syafique Shuib
Ogos 17, 2016 19:20 MYT
Ogos 17, 2016 19:20 MYT
SETELAH menghiasi majalah fesyen InStyle, penyanyi Yuna kini tampil di laman web milik majalah percutian antarabangsa, Conde Nast Traveler.
Rencana itu diadakan di 'Rasa', sebuah restoran masakan Malaysia di Manhattan, New York.
Artikel itu turut memuatkan klip video memaparkan Yuna menjelaskan beberapa hidangan popular tempatan seperti masak lemak cili api, char kuey teow, nasi lemak dan roti canai.
Memetik Conde Nast Traveler, Yuna telah memesan hidangan nasi lemak kerana merasakan peminatnya akan ‘marah’ jika beliau tidak memperkenalkan hidangan itu kepada wartawan asing itu.
Yuna turut berkongsi pengalamannya sewaktu siri jelajah konsertnya di Eropah pada bulan hadapan dan keseronokan mengembara.
“Ia sungguh menyeronokkan. Jika saya tiba pada awal pagi, saya akan mengambil masa untuk berjalan-jalan secara bersendirian. Saya akan mencari tempat-tempat yang ‘cool’ seperti kedai rekod di St Louis atau restoran di Chicago,” kata Yuna kepada majalah itu.
Selain itu, penyanyi yang sinonim dengan lagu 'Crush' itu turut berharap dapat membawa karyanya ke Tokyo, Jepun, yang menjadi destinasi pilihannya selama ini.