"Yulia bukan pembantu rumah, dia sebahagian daripada keluarga kami"

Shafiqa Azami
Februari 27, 2025 10:30 MYT
Tiada pertalian darah tidak pernah mengurangkan walau seinci rasa hormat antara keluarga pasangan Rafidah dan Ahmad Hakimi dengan pembantu rumah mereka, Yulia.
KUALA LUMPUR : Sering kita mendengar kisah ‘kurang enak’ mengenai sikap dan keperibadian pembantu rumah yang bekerja bukan sahaja di Malaysia, bahkan di negara-negara lain juga.
Namun, tidak kurangnya juga banyak perkongsian dilakukan mengenai keberuntungan sebilangan besar majikan mempunyai pembantu rumah yang bukan sahaja baik peribadi, bahkan, sangat bertanggungjawab.
Dalam kalangan majikan bertuah itu, Rafidah Partiman dan suaminya, Ahmad Hakimi Tajuk Arus antara yang bernasib baik kerana pernah mendapatkan khidmat seorang pembantu rumah yang sangat-sangat berdedikasi.
Bukan sahaja komited dengan kerja-kerja yang dilakukan sebaliknya, Yulia Ningsih di mata Rafidah dan Ahmad Hakimi sudah seperti sebahagian daripada ahli keluarga mereka.
Tiada pertalian darah tidak pernah mengurangkan walau seinci rasa hormat antara majikan dan pembantu rumah itu.
Keakraban pasangan itu dengan Yulia jelas terlihat dalam sebuah rakaman video yang tular di media sosial baru-baru ini.
Rakaman itu memperlihatkan kejutan yang dilakukan pasangan suami isteri itu ke atas pembantu mereka yang sudah kembali ke tanah air selepas empat tahun berkhidmat di Malaysia.
Kata Rafidah, video tersebut dirakam semata-mata untuk mengabadikan momen indah ketika mereka memberi kejutan kepada Yulia.
Kunjungan mereka ke Yogyakarta itu sepatutnya dilakukan pada 2022.
Itu menjadi keinginan Rafidah dan suaminya untuk membawa Yulia bersama-sama.
"Sepatutnya pada 2022, saya bawa dia (Yulia) sekali ke Yogyakarta... bawa bercuti (kebetulan) pada masa itu dia sudah pulang ke sana.
"(Dan) untuk kunjungan kali ini, kita tak nak beritahu dia, (sebaliknya) saya beritahu anak saudaranya yang duduk berdekatan dengan rumahnya,” katanya berkongsi cerita dengan Astro AWANI.
Dalam keghairahan bercerita mengenai kunjungan ke Yogyakarta itu, ingatan Rafidah kembali pada detik-detik awal kehadiran Yulia dalam keluarganya pada Oktober 2018.
Rafidah mengakui, kehadiran Yulia banyak mengubah kehidupan pasangan itu dan anak-anak mereka.
Kata Rafidah, Yulia telah diambil sebagai pembantu untuk menguruskan keluarganya terutamanya anak kedua yang kurang upaya dan memerlukan lebih perhatian.
Sudah tertulis rezeki Rafidah dihadirkan pembantu rumah keturunan Sunda yang sangat sinonim dengan sikap mereka yang rajin bekerja, lemah lembut dan beradab.
Apa yang turut menyentuh sanubari Rafidah juga ialah Yulia memiliki tahap kesabaran yang sangat tinggi dan tidak pernah lelah atau merungut ketika melakukan kerja-kerja rumah.
Yulia juga, kata Rafidah, sangat menyenangi dan menyayangi anak istimewanya, Qystina Aleesya yang ketika itu berumur 12 tahun.
Aleesya diasuh oleh Yulia seperti anak sendiri, selain memberi bimbingan kepada permata hatinya itu sehingga ke bangku sekolah.
"Sebab anak saya tak boleh berjalan. Jadinya cikgu minta ada seorang penjaga. Bila saya bekerja, suami bekerja, jadi saya minta tolong pembantu saya," ujarnya.
Rafidah serta keluarga yang mengharapkan pertemuan dengan Yulia dapat diperpanjangkan terlupa bahawa di hujung pertemuan itu juga adanya perpisahan.
Peluang ditawarkan oleh Rafidah dan suaminya kepada Yulia untuk terus berkhidmat, namun, pembantu rumahnya itu menolak dengan hormat.
Kata Yulia, dia ingin pulang ke Indonesia, meluangkan masa bersama keluarganya pula.
Tempoh masa empat tahun menimba pengalaman dan 1,001 kemanisan di bumi Malaysia barangkali menjadi bekalan yang terindah buatnya.
Perkhidmatan Yulia bersama majikan yang disayanginya itu berakhir pada 2022.
Sementara itu, Ahmad Hakimi berpendapat, majikan harus mengelak daripada melayan pembantu rumah seperti orang asing.
Sebaliknya, mereka perlu dibimbing dan dilatih agar dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di rumah.
“Cuma kita kena banyak berkomunikasi dengannya, nasihat apa yang boleh dan apa yang tak boleh dilakuka. Secara kebetulan dia akan belajar dan jadikan kita sebagai satu keluarga,” katanya lagi.
Ahmad Hakimi juga berpendapat, tidak seharusnya wujud jurang antara majikan dan pembantu rumah memandangkan mereka telah menjadi sebahagian daripada keluarga serta bertanggungjawab menjaga anak-anak.
Kata beliau, adalah penting untuk membina hubungan yang harmoni dengan pemban tu rumah selain jangan sesekali lupa mendidik anak-anak agar menghormati mereka sebagai individu yang lebih tua.
#Indonesia #pembantu rumah #majikan #pembantu rumah baik #video tular
;