Yamaha Exciter lancar di Vietnam, imej dan enjin baharu untuk YSuku
Afiezy Azaman
Januari 2, 2021 12:14 MYT
Januari 2, 2021 12:14 MYT
SELEPAS khabar mengenai perubahan dan penambahbaikan enjin terhadap model Yamaha Y15ZR beberapa tahun kebelakangan ini, akhirnya ia terjawab melalui pelancaran Yamaha Exciter 155 VVA 2021 oleh Yamaha Motor Vietnam, pada 29 Disember lepas.
Model dikenali sebagai Y15ZR atau YSuku di negara kita ini mendapat pembaharuan menyeluruh termasuk spesifikasi enjin dan panel badan.
Bagi pasaran Vietnam yang sentiasa mendahului Malaysia dalam arena permotoran, model ini didatangkan dengan dua varian iaitu versi standard dan versi premium dengan empat pilihan warna.
Exciter 2021 ini menggunakan enjin sama seperti model Yamaha R15 dan juga MT-15 iaitu satu silinder 155 cc, SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA) digabungkan dengan transmisi enam kelajuan berbanding lima pada model sebelum ini.
Model ini mampu menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm.
Sistem suspensinya masih sama dengan model 150 cc terdahulu namun fork depan dikatakan terdapat penambahbaikan dan dalam masa yang sama versi 2021 ini masih lagi belum menerima brek ABS seperti SYM VF3i LE dan Pro.
Tangki minyak pula kini berkapasiti 5.4 liter manakala tayar juga masih pada saiz model lama.
Yamaha juga menampilkan panel meter digital rekaan baharu dengan menawarkan pelbagai maklumat motosikal ini.
Antara ciri lain yang terdapat pada Yamaha Exiter 155 VVA ini termasuk suis pemati enjin, suis lampu untuk memotong (passing light), rantai yang lebih tahan lama, tempat duduk rekaan baharu dan rekaan mudguard belakang baharu.
Perubahan besar dan ketara yang boleh dilihat pada Yamaha Exciter 155 VVA 2021 ini adalah penampilan pada semua panel badannya yang serba baharu.
Didatangkan dengan lampu jenis LED di bahagian utama, DRL di bahagian bawah dan penunjuk arah di bahagian tepi, rekaan lampu belakang juga dikatakan baharu dan lebih segar.
Bagi versi standard dan versi premium, tiga pilihan warna yang tersedia ialah hitam, merah dan putih, dengan tambahan skim warna GP Edition untuk model versi premium.
Harga yang ditawarkan pula bermula 46,990,000 Dong (RM8,232.93) bagi model versi standard dan 49,990,000 Dong (RM8,758.55) untuk model Premium Version.
Versi GP Edition berharga 50,490,000 Dong (RM8,846.15).
Ramai menyatakan rupa model terbaru ini agak pelik dan kekok tetapi yang pasti apabila jenama ini mengeluarkan sebarang model ia sentiasa memenuhi jalan raya di seluruh negara ini.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#Yamaha Y15ZR
#Yamaha Exciter 155 VVA 2021
#Yamaha Motor Vietnam
#spesifikasi enjin
#versi premium
#versi standard
#Variable Valve Actuation
#MT-15
#R15
#SYM VF3i LE
#panel meter digital