Xbox bakal terima sokongan AI Copilot

Amanz
Mei 22, 2024 09:10 MYT
Pada acara Microsoft Build minggu ini, mereka telah memperlihatkan demo sokongan Copilot di PC dan konsol Xbox. -Amanz
TAHUN ini memulakan era kecerdasan buatan (AI) pada komputer peribadi. Microsoft dengan inisiatif AI PC dan Copilot+ PC sementara Apple pula dijangka mengumumkan sistem mereka di WWDC kelak.
Jelas strategi Microsoft ialah menarik minat orang ramai untuk mula menggunakan AI.
Menurut laporan Windows Central, kelak ciri AI akan juga tiba pada PC dan konsol Xbox keluaran mereka.
Pada acara Microsoft Build minggu ini, mereka telah memperlihatkan demo sokongan Copilot di PC dan konsol Xbox.
Pemain Minecraft boleh menyeru Copilot untuk membantu mereka menyelesaikan teka ria di dalam permainan dengan menggunakan kawalan suara.
Jawapan akan diberikan tanpa pemain perlu berhenti dan melakukan carian di laman web secara manual.
Ia turut boleh memberikan cara menghasilkan sesetengah alatan di dalam Minecraft dengan melihat inventori pemain.
Jika menyedari kekurangan bahan, ia boleh memberikan pula arahan di mana ia boleh dicari.
Dengan Copilot, isu turun temurun tidak melepasi bahagian tertentu permainan video diselesaikan tanpa perlu menjeda permainan.
Bila Copilot akan tiba ke PC dan Xbox masih belum diumumkan. -Amanz
#Microsoft #Copilot #Xbox #kecerdasan buatan