Word of the Year 2015: Kamus Oxford pilih emoji 'Wajah Dengan Air Mata Gembira'

Nizam Bakeri
Disember 16, 2015 17:51 MYT
Perkataan pilihan Kamus Oxford tahun ini merupakan emoji yang dikenali dengan nama rasminya, Wajah Dengan Air Mata Gembira.
BUAT pertama kalinya, perkataan pilihan Kamus Oxford tahun ini bukan perkataan sebenar yang dibina dari abjad namun piktograf yang dikenali dengan nama rasminya: emoji “Wajah Dengan Air Mata Gembira”.
Emoji ini dipilih sebagai ‘perkataan’ paling tepat untuk menggambarkan suasana, perasaan, dan keadaan keseluruhan tahun 2015.
Penggunaan emoji meluas
Emoji telah wujud sejak lewat 90-an, namun penggunaannya pada tahun ini, sama ada dalam bentuk piktograf atau perkataan emoji itu sendiri, telah menyaksikan peningkatan ketara.
Tahun ini, Kamus Oxford bekerjasama dengan Swiftkey untuk mengukur kekerapan penggunaan emoji di seluruh dunia dan emoji “Wajah Dengan Air Mata Gembira” menduduki tempat pertama.
Swiftkey merupakan syarikat yang menyediakan perisian papan kekunci yang mampu meramal perkataan yang ditaip oleh pengguna melalui kecerdasan buatan (artificial intelligence).
Perkataan “emoji” sendiri menyaksikan peningkatan mendadak. Pertama kali dimasukkan ke dalam bahasa Inggeris pada tahun 1997, penggunaan perkataan ini mengalami peningkatan tiga kali ganda pada tahun ini berbanding tahun 2014.
Sejarah emoji
Emoji merupakan imej digital kecil atau ikon yang digunakan untuk mengekspresi idea atau emosi dalam komunikasi elektronik. Perkataan emoji merupakan kata pinjaman dari bahasa Jepun, iaitu “e” bermaksud gambar dan “moji” bermaksud huruf atau karakter.
Pada masa kini, emoji tidak lagi terbatas dalam kalangan generasi muda semata-mata malah kini diterima sebagai bentuk ekspresi yang tersendiri dan merentas segala sempadan bahasa.
Selain emoji “Wajah Dengan Air Mata Gembira”, antara perkataan lain yang disenarai pendek untuk perkataan pilihan 2015 oleh Kamus Oxford ialah sharing economy, on fleek, ad blocker, dan lumbersexual.
#emoji #Oxford Dictionary #word of the year
;