'Wonder Woman' Minah Deris dedah rahsia kekal cergas sampai 120 tahun

Muhafandi Muhamad
Mei 26, 2017 10:23 MYT
Walaupun bertongkat, Minah Deris masih lagi bertenaga dan jauh sekali memerlukan bantuan anak serta cucunya untuk bergerak ke sana sini. - Foto Astro AWANI
Seorang warga emas yang mendakwa dirinya sudah berusia 120 tahun membuktikan dia sememangnya masih ‘gagah’ apabila mampu saban hari mendaki 100 anak tangga untuk ke tingkat tiga rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, di sini.
Walaupun bertongkat, Minah Deris masih lagi bertenaga dan jauh sekali memerlukan bantuan anak serta cucunya untuk bergerak ke sana sini.
Menurut Minah, sejak tiga bulan lalu dia tinggal di rumah PPR milik anak perempuan bongsunya.
Boleh dikatakan setiap hari juga dia akan turun ke tingkat bawah dan kembali ke rumah flatnya untuk membeli barangan keperluan. Malah ramai yang menyifatkan wanita ini sebagai 'wanita gagah' atau 'Wonder Woman'.
Kata Minah, rahsianya kekal cergas sehingga kini adalah dia tidak pernah makan makanan berminyak sejak di usia remaja.
“Sihat lagi. Masih boleh membaca Al Quran. Bercucuk-tanam sendiri. Jaga makanan jugalah. Makan ikan sungai. Jalan guna tongkatlah. Bersyukurlah, umur seratus lebih. Ada dua beradik. Lapan orang adik-beradik,” kata Minah ketika ditemui Astro AWANI.
Jelas Minah yang teruja ingin menyambut bulan Ramadan, dia dilahirkan pada tahun 1897 di Kampung Tendong, Pasir Mas dan berhijrah ke Kampung Kuala Tol, Gua Musang lebih 70 tahun lalu untuk mencari rezeki dengan membuka kebun.
Katanya, dia mendapat kad pengenalan ketika usia 27 tahun iaitu pada tahun 1924.
Minah mempunyai lapan orang adik-beradik. Enam orang daripadanya sudah meninggal dunia.
Minah juga mempunyai empat anak dan lebih 10 orang cucu serta cicit.
#Minah Deris #PPR #Projek Perumahan Rakyat #warga emas
;