WCOPA: Empat emas untuk Syafiqah, Zaidy
Ian Johan Ariff
Julai 9, 2017 15:42 MYT
Julai 9, 2017 15:42 MYT
Selepas pusingan akhir yang berlangsung Jumaat lalu di Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di California, pasangan penari Malaysia, Nur Syafiqah Najwa Jefri dan Zaidyansjah Ruddyanjah membawa pulang empat emas dan satu perak.
Emas dimenangi bagi acara tarian etinik, lirikal, teater muzikal dan terbuka, manakala mereka membawa pulang satu perak bagi acara kontemporari.
Mereka yang bersaing dalam kategori menari berkumpulan senior turut memenangi tiga gelaran juara dunia bagi kategori etnik, lirikal dan teater muzikal selain biasiswa untuk kelas tarian oleh Millenium Dance Complex Hollywood.
Millenium Dance Complex adalah studio yang melahirkan penari-penari dan koreografer ‘A-list’, dan mempersiapkan penari dari semua aspek termasuk persiapan menghadapi uji bakat dalam industri komersial.
Pada pusingan akhir di Long Beach Convention and Entertainment Center, Syafiqah dan Zaidy mempertaruhkan tarian kuda kepang namun gagal memikat hati juri untuk membawa pulang gelaran juara dunia senior dan juara dunia teragung senior (senior grand world champion).
Dua wakil Filipina memenangi gelaran juara dunia teragung iaitu Christiani Rebada (senior) dan Nhikzy Vheench Calma (junior).
Sementara juara dunia bagi acara menari berkumpulan senior dimenangi Chase and Ashley dari Afrika Selatan.
Syafiqah dan Zaidy merupakan graduan Diploma Seni Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Mereka dibimbing koreografer Fairul Zahid dari Asia Duo Dance Company.
WCOPA adalah kejohanan bakat yang mengumpulkan penyanyi, penari, pelakon, ahli muzik dan model dari lebih 60 negara.
14 peserta Malaysia mencuba nasib untuk menjadi juara dalam kejohanan yang dianggap sebagai sebagai ‘Olimpik Pencarian Bakat’ itu.
#Asia
#Aswara
#California
#Filipina
#Long Beach Convention
#Malaysia
#Millenium Dance Complex Hollywood
#Nur Syafiqah Najwa Jefri
#Olimpik
#Zaidyansjah Ruddyanjah