Warna-warni busana Saloma pikat pengunjung pameran

Bernama
April 22, 2022 11:34 MYT
Gaun warna perak berkilauan tertera tulisan 'SALOMA' di bahagian depan ini merupakan antara yang kekal dalam ingatan peminat-peminat setia biduanita legenda negara. - Gambar Facebook Fahrenheit88 Shopping Mall
KUALA LUMPUR: Jika busana yang pernah disarung Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma walaupun dalam visual hitam putih di kaca televisyen dilihat cukup menawan, bayangkan sekiranya ia dilihat secara dekat dalam warna sebenar.
Berusia hampir 60 tahun, kecantikan, keunikan serta warna-warni busana serta aksesori fesyen yang pernah digayakan pemilik nama sebenar Salmah Ismail itu kini boleh disaksikan sendiri di Pameran P. Ramlee dan Saloma selama sebulan yang berakhir 16 Mei ini di pusat beli-belah Fahrenheit88 di sini.
Daripada 29 artifak yang dipamerkan, paling memukau pengunjung adalah gaun retro yang pernah digayakan Saloma yang terkenal sebagai 'Perintis Fesyen Malaya' dalam filem Ragam P. Ramlee terbitan tahun 1964 .
Berkongsi lanjut, penyelaras pameran, Khairunnasya Mohamed Shazali berkata, keistimewaan gaun warna perak berkilauan itu terletak pada tulisan 'SALOMA' berwarna merah di bahagian depan yang menggunakan labuci serta manik silinder yang dijahit sendiri ikon fesyen retro tersebut.
Selain itu, fesyen gaun berkenaan yang mempunyai belah pada bahagian belakang turut direka sendiri oleh pelakon legenda tersebut serta dibantu teman rapatnya, Nona Asiah yang menjahit busana itu.
"Menurut sumber keluarga dan rakan baiknya, Saloma diketahui seorang yang minat berfesyen serta gemar menjahit labuci dan mengait, malah kebanyakan pakaian beliau adalah hasil rekaannya sendiri.
"Selain rekaan bajunya yang cantik dan unik, ikoniknya fesyen Saloma ni adalah saiz pinggangnya yang ramping dianggarkan sekitar 22 inci, sehingga kami perlu menempah 'mannequin' (boneka pakaian) khas supaya padan dengan pakaian," katanya kepada Bernama.
Khairunnasya berkata, fesyen unik yang dipopularkan 'Marilyn Monroe of The East' itu termasuk kain kipas, peplum, kain sempit, kain belah dan kebaya ketat yang masih mengekalkan ciri-ciri ketimuran dengan penambahan unsur gaya barat.
Turut dipamerkan adalah kaca mata, kasut, tas tangan milik penyanyi lagu 'Bila Larut Malam' itu selain 18 artifak milik Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee antaranya mesin taip, biola, seruling dan kasut.
Katanya, kesemua artifak yang disimpan oleh Arkib Negara Malaysia di Pustaka Peringatan P. Ramlee di sini dan di Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang itu menjalani teknik konservasi profesional bagi menjamin kelangsungan elemen warisan serta kualiti fabrik.
Pameran itu dianjurkan Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama pusat beli-belah Fehrenheit88 bersempena kempen Hari Raya Aidilfitri 'Raya Melodies', yang dua tokoh tersebut diangkat menjadi tema dekorasi pusat beli-belah tersebut. - BERNAMA
#saloma #P Ramlee #busana Saloma #Fahrenheit88
;