Warga Indonesia selesa cari rezeki di Malaysia
Bernama
Disember 27, 2012 16:05 MYT
Disember 27, 2012 16:05 MYT
Mencari rezeki dengan bekerja di Malaysia merupakan pilihan terbaik menurut pandangan sebahagian warganegara Indonesia yang sudah lama bekerja di negara ini dalam sektor-sektor yang dibenarkan kerajaan.
Mereka mengakui murah rezeki di bumi Malaysia kerana terdapat banyak dan luasnya peluang pekerjaan selain faktor majikan yang baik bagi yang bekerja sebagai pembantu rumah, upah yang lumayan bagi pekerja sektor lain berbanding dengan di kampung asal mereka dan berasa aman tinggal di sini dengan mempunyai surat perjalanan dan visa yang lengkap.
Aspek surat dan dokumen perjalanan yang sah sentiasa menjadi nasihat utama Duta Besar Indonesia di Malaysia yang baharu Herman Prayitno kepada warga Indonesia di segenap ceruk rantau Malaysia.
Beliau tidak mahu warga Indonesia yang bekerja di negara ini mengambil mudah hal ehwal pengurusan dokumen penting seperti pasport dan pembaharuan permit kerja bagi mengelak sebarang kesulitan kepada pekerja, yang sekali gus dapat pula menjamin hak-hak mereka sebagai pekerja di negara ini.
"Selain itu, warga Indonesia di Malaysia juga harus menjunjung undang-undang negara ini, bekerja dengan baik dan hidup dengan aman," katanya pada satu pertemuan dengan sebahagian warga negara Indonesia di sini baru-baru ini.
Sehingga kini dianggarkan terdapat seramai dua juta warganegara Indonesia yang bekerja di Malaysia dengan 20 peratus daripadanya bekerja sebagai pembantu rumah.