Warga emas hasilkan 600 jenis origami jet pejuang
Bernama
April 27, 2023 09:30 MYT
April 27, 2023 09:30 MYT
GEORGE TOWN: Tidak siapa sangka, seorang pesara guru berusia 88 tahun mampu menghasilkan 600 jenis origami jet pejuang dengan menggunakan kertas.
Ee Choo Teck, yang aktif dalam bidang origami selama 24 tahun turut memiliki sebuah studio yang dinamakan Modern Origami, untuk mempamerkan ribuan hasil karya origaminya di Bukit Jambul, di sini.
Warga emas yang berasal dari Yong Peng, Johor itu berkata, dia mula berminat dalam origami selepas mengunjungi pameran kapal terbang di Singapura pada 1998.
"Selepas balik dari pameran kapal terbang, saya cuba menggunakan kertas untuk menghasilkan jet pejuang bagi mengambil hati cucu... itulah titik permulaan saya dalam bidang origami," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediaman di Bukit Jambul baru-baru ini.
Menurutnya, origami pertama dihasilkan adaalah bersaiz kertas A4 iaitu mirip jet pejuang F15 sebenar dan paling besar pernah dihasilkan adalah bersaiz lebih satu meter, yang memerlukan hampir sehari untuk disiapkan.
Setelah berpindah ke Pulau Pinang pada tahun 2000 untuk mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa, Ee berkata, dia sering melipat origami jet pejuang untuk dihadiahkan kepada murid-muridnya.
"Seorang rakan guru yang mencadangkan saya supaya menjual hasil origami jet pejuang kerana dikatakan amat unik dan cantik. Sebagai pemulaan, saya berikan origami jet pejuang yang saya lipat kepada badan-badan bukan kerajaan untuk dijual dan mengutip derma," katanya.
Selepas mendapat sambutan mengalakkan, Ee berkata, dia mula berniaga dengan menyertai pasar hujung minggu iaitu Armenian Street market sehingga kini.
Katanya, dalam sehari, dia mampu menjual 40 hingga 50 buah origami jet pejuang dalam pelbagai saiz dengan hasil jualan boleh mencecah RM300.
"Saya menjual origami jet pejuang dengan harga RM5 hingga RM10 mengikut saiz dan jenis jet pejuang. Saya juga menyimpan ribuan origami di studio sebagai hiasan untuk semua peminat origami," katanya yang mampu menghasilkan lebih 100 origami jet pejuang bersaiz kerta A4 dalam lapan hingga 10 jam sehari.
Ee berkata, origami jet pejuang yang dihasilkannya bukan sahaja dijadikan sebagai barang hiasan tapi boleh juga terbang seperti kapal terbang kertas lain. - BERNAMA