Wanita sewajarnya bersifat terbuka bicara masalah kesihatan secara meluas

Ehsan A Marisah
April 6, 2022 17:22 MYT
Wanita perlu berani dan tidak segan untuk mempertahankan diri untuk kebaikan bersama. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kesedaran akan kesihatan wanita wajar diperluas kepada golongan itu supaya mereka lebih bersifat terbuka untuk membicarakan isu kesihatan selain membolehkan bantuan diberikan pada masa yang tepat.
Pengarah Obstetrik dan Ginekologi Hospital UMRA, Datin Dr Ummul Wahiy Abd Hakim berkata, pendidikan awal melibatkan semangat dan keberanian wanita untuk bertanyakan kepada pakar atau doktor tentang kesihatan mereka dilihat amat kritikal dan diperlukan pada masa ini.
“Pendidikan awal yang saya rasa paling kritikal ialah wanita perlu diberi semangat dan keberanian untuk bertanyakan kepada doktor apa-apa soalan. Di sini, kerana ada faktor budaya, iaitu kita diajar ada beberapa perkara bersifat tabu, menyebabkan kita tidak boleh berbicara kepada orang lain.
“Sebagai contoh, apabila seorang wanita mempunyai masalah hubungan intim dengan pasangan, mungkin dia (wanita) akan memberitahu rakan baiknya tetapi tidak akan memberitahu doktor kerana timbul rasa malu untuk bercakap mengenainya yang dianggap perkara remeh,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI bertajuk Kesedaran Kesihatan Wanita yang disiarkan pada baru-baru ini.
Agenda AWANI: Kesedaran kesihatan Wanita
Beliau berkata, anak-anak juga perlu dididik sedari kecil lagi agar mereka lebih bersifat terbuka untuk membicarakan pelbagai isu wanita.
“Sebenarnya kita perlu didik anak-anak kita bermula dari kecil untuk bersikap jujur kepada ibu bapa mereka sekiranya mengalami apa-apa masalah dari segi fizikal, mental mahupun sekolah.
“Sekiranya kita (ibu bapa) menyokong anak-anak kita, mereka akan bersifat lebih terbuka untuk mendapatkan apa-apa bantuan sekiranya diperlukan,” katanya.
Kata Dr Ummul Wahiy lagi, institusi keluarga, khususnya suami memainkan peranan penting dalam menyuntik keyakinan kepada pasangan untuk menyuarakan masalah yang dialami.
Sementara itu, Penyelia Jualan dan Pemasaran Bahagian Komersial Pharmaniaga Berhad, Sharon Teo Xue Yan berkata, pihaknya terus bergiat aktif dalam menyebarluaskan isu kesihatan wanita meskipun perihal tabu menjadi antara cabaran dalam budaya dan masyarakat.
“Di Pharmaniaga, kami terus melibatkan diri dan menyokong aktiviti, inisiatif serta kempen kesedaran kesihatan wanita.
“Antaranya mengadakan kolaborasi bersama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi di dalam negara. Kami juga bekerjasama dengan pakar dalam bidang ini untuk menyuarakan serta menyebarkan kepentingan menangani isu kesihatan wanita," katanya.
Tambah Sharon, wanita perlu berani dan tidak segan untuk mempertahankan diri untuk kebaikan bersama.
“Selain itu, sokongan mereka yang berdekatan dengan anda seperti keluarga, malah rakan-rakan dan majikan juga diperlukan.
“Jangan segan, suarakan pandangan anda sekiranya mengalami masalah dengan tubuh badan, jangan biarkan begitu sahaja,” ujarnya lagi.
#wanita #kesihatan #Pharmaniaga #Agenda Awani
;