Wanita mudah mengingati wajah: kajian
AFP RELAXNEWS
Jun 7, 2013 07:05 MYT
Jun 7, 2013 07:05 MYT
Sukar menggambarkan wajah seseorang? Satu kajian dari Universiti McMaster di Ontario mendapati wanita lebih mudah mengingati wajah berbanding lelaki, ini kerana mereka menghabiskan lebih banyak masa untuk memerhati ciri-ciri yang membantu meningkatkan memori seseorang.
Hasil kajian menjawab soalan yang telah lama ditanya mengenai mengapa seseorang boleh mengingati wajah dengan senang manakala sebahagian lupa tentang mereka yang baru sahaja dijumpai, kata penyelidik.
“Cara kita menggerakkan mata apabila bertemu wajah individu yang baru dikenali memberi kesan untuk mengenali individu berkenaan kemudiannya,” kata ketua penyelidik Jennifer Heisz dari Universiti McMaster.
“Hasil kajian memberikan pemahaman baru dalam mekanisme yang membantu memori dalam mencari perbezaan jantina,” tambahnya.
“Kami menemui bahawa wanita melihat lebih banyak ke arah wajah yang baru dikenali berbanding lelaki, yang membolehkan mereka membentuk memori yang lebih baik.”
Dalam kajian tersebut, penyelidik menggunakan teknologi yang menjejak mata bagi memerhati bagaimana 80 peserta kajian (40 lelaki, 40 wanita) melihat -- sama ada mata, hidung atau mulut – apabila mereka diberikan beberapa gambar wajah secara rawak di paparan komputer.
Satu kumpulan peserta diuji sehari selepas ujian dan kumpulan lain diuji empat hari selepas ujian.
“Kami dapati wanita memberi tumpuan lebih daripada lelaki, tetapi strategi ini berlaku di luar jangkaan kita," tambah Heisz.
“Seorang individu tidak selalunya sedar dimana mata mereka tertumpu, semua itu di luar kesedaran.”
Lelaki masih boleh mempelajari helah ini untuk meningkatkan daya ingatan, tambah mereka.
"Keputusan itu menambah kemungkinan bahawa perubahan pergerakan mata boleh membawa kepada memori yang lebih baik," kata pengarang bersama dan profesor psikologi David Shore.
"Peningkatan imbasan mungkin terbukti menjadi satu strategi yang mudah untuk meningkatkan daya ingatan muka dalam populasi umum, terutama bagi individu mengalami kemerosotan ingatan seperti orang dewasa yang lebih tua."