Wanita kurang tertarik dengan lelaki pencinta kucing - Kajian

Agensi
Jun 23, 2020 10:05 MYT
Kajian mendapati wanita lebih cenderung untuk memilih berpasangan dengan lelaki yang tidak menyukai kucing.
BERITA kurang baik untuk kaum Adam yang sukakan kucing.
Hasil kajian Colorado State University, Amerika Syarikat mendapati wanita lebih cenderung untuk memilih berpasangan dengan lelaki yang tidak membela atau menyukai kucing.
Dalam kajian ini, responden ditunjukkan dengan empat set gambar membabitkan dua lelaki berbeza.
Setiap lelaki mempunyai dua keping gambar, satu memegang kucing dan satu lagi berseorangan.
Sejumlah 38 peratus wanita mengatakan mereka akan keluar dengan lelaki yang tidak memegang kucing, manakala 37 peratus mengatakan mereka akan mempertimbangkan untuk mempunyai hubungan serius dengan lelaki tersebut.
Namun lain kisahnya apabila responden ditunjukkan dengan gambar lelaki yang sama, tetapi memegang kucing.
Hanya 33 peratus wanita mahu keluar dengan lelaki tersebut, manakala 14 peratus pula mengatakan mereka tidak akan mempertimbangkan sebarang hubungan serius dengan lelaki itu.
"Lelaki yang memegang kucing dipandang kurang maskulin dan tidak sesuai dijadikan teman lelaki," rumus kajian itu.
Seramai 708 wanita berusia antara 18 dan 24 tahun mengambil bahagian dalam eksperimen yang dijalankan dalam talian itu.
Namun terdapat kemungkinan dapatan kajian ini berubah mengikut stereotaip budaya masyarakat.
"Penting untuk kita mengetahui ada kemungkinan wanita di Amerika Syarikat lebih menyukai anjing (dog person) dan bukan kucing (cat person).
"Jika benar, tidak hairanlah mereka merasakan lelaki yang sukakan kucing kurang maskulin."
#cat person #Colorado State University #dog person #hubungan serius #Kajian #kaum Adam yang sukakan kucing #kucing #kurang maskulin #lelaki yang tidak membela kucing
;