Wanita kendali pesawat ke Jeddah: 'Bagus tapi ironik' - Netizen
Madiha Abdullah
Mac 15, 2016 16:52 MYT
Mac 15, 2016 16:52 MYT
ZAMAN kini, wanita bergelar juruterbang bukanlah sesuatu yang pelik.
Terbaru, tiga juruterbang wanita Royal Brunei Airlines mengendalikan pesawat Boeing 787 menjadi tumpuan.
Tiga wanita hebat itu ialah Kapten Sharifah Czarena, dan dua pegawai pertama, Sariana Nordin dan Nadiah Khashiem.
Pesawat itu berlepas dari Brunei dan membawa 300 orang penumpang.
Apa yang menjadi perhatian adalah destinasi pesawat berkenaan iaitu Jeddah, Arab Saudi.
Ada yang merasakan adalah sedikit ironik apabila wanita menerbangkan pesawat itu ke sebuah negara di mana wanita tidak dibenarkan memandu kereta.
Datin Paduka Marina Mahathir, seorang aktivis yang juga anak kepada mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pula memilih untuk membawa perhatian kepada isu kurangnya peluang untuk juruterbang wanita di negara ini.
Selain Royal Brunei Airlines, Air Canada dan Air India adalah antara beberapa syarikat penerbangan yang mengetengahkan juruterbang wanita.