Wanita hidap penyakit jantung kongenital berpotensi 'warisi' penyakit kepada anak

Astro Awani
Julai 5, 2019 19:03 MYT
Doktor akan menasihatkan golongan yang menghidap penyakit itu, semasa mengandung, perlu dapat rawatan yang teliti termasuk pengawasan terhadap bayi dalam kandungan. - Gambar hiasan
Wanita yang mengalami penyakit jantung kongenital mempunyai risiko lebih tinggi untuk ‘mewariskan’ penyakit itu kepada anak mereka.
Menurut Perunding Kanan Pediatrik dan Kardiologi Kongenital Institut Jantung Negara (IJN), Dr Geetha Kandavello, wanita berpotensi untuk menghidapi masalah jantung pada awal kehamilan mereka disebabkan beberapa faktor, termasuk masalah kencing manis yang tidak terkawal.
Justeru itu, katanya, sangat penting untuk kumpulan tersebut menjalani saringan jantung janin pada usia kehamilan antara 18 dan 20 minggu.
“Kalau ibu ada masalah jantung, risiko itu mungkin naik kepada dua atau tiga kali lebih (untuk anak yang dilahirkan menghidap penyakit jantung).
“Jadi, apa yang kita ada sekarang adalah rawatan semasa mengandung yang membolehkan ibu untuk membuat diagnosis,” katanya ketika ditemui pada Program Persidangan Padistrik Kardiologi di Hotel Sheraton Imperial, di sini, hari ini.
Persidangan dua hari bermula Jumaat itu dianjurkan Persatuan Pediatrik Kardiologi Malaysia dengan sasaran kepada golongan profesional dalam bidang kesihatan.
Mengulas lanjut, Dr Geetha berkata, langkah pencegahan termasuk kaunseling sebelum tiba tempoh usia kehamilan wajar dilaksanakan kepada golongan sasaran tersebut.
Katanya, ia termasuklah dalam membantu pesakit merancang kehamilan mereka.
“Sebab itulah sangat penting kaunseling pra kehamilan kerana ada pesakit kanak-kanak yang sudah besar dan menjadi dewasa, mereka mungkin ingin berkahwin dan hamil.
“Doktor akan menasihatkan kepada mereka dan semasa mengandung, golongan ini akan menerima rawatan yang teliti termasuklah pengawasan terhadap bayi mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YKJM) memaklumkan pihaknya komited menghulurkan sumbangan kepada bayi dan kanak-kanak yang menghidap masalah jantung kongenital bagi meringankan beban yang ditanggung pesakit.
Pengasasnya, Datuk Dr Hamdan Leman berkata, sejak yayasan itu ditubuhkan pada Februari 2017, sejumlah RM70,000 telah disumbangkan bagi menampung kos pembedahan pesakit yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
“Jadi, usaha seterusnya yang kami fikirkan boleh dilakukan adalah, di mana terdapat kesusahan bagi keluarga yang menemani anak-anak ketika menjalani pembedahan, dan kita bercadang untuk menyiapkan satu kemudahan di kawasan berdekatan Hospital Serdang.
“Kebanyakan ahli keluarga tiada tempat tinggal dan jika kami dapat sokongan lebih, kami berharap untuk menjadi sebuah tabung pusat bagi membiayai pembedahan pesakit,” katanya.
Penyakit jantung kongenital merupakan malformasi struktur jantung atau pembuluh darah besar yang wujud sejak lahir.
#bayi #Geetha Kandavello #Hamdan Leman #Hospital #Hospital Serdang #IJN #Jantung Kongenital #Kanak-kanak #kaunseling #kehamilan #keluarga #kesihatan #mengandung #Pembedahan #pembuluh darah besar #rawatan #saringan #wanita
;