Wanita, Gen Z pengguna TikTok paling tinggi

Agensi
Jun 23, 2022 07:15 MYT
Lebih separuh daripada pengguna TikTok ialah Gen Z, berbanding 39 peratus golongan Millenial. - REUTERS
SEJAK awal kewujudannya, TikTok dilabel platform media sosial untuk generasi muda. Jika sasaran jenama anda adalah golongan berumur antara 13 dan 60 tahun, anda perlu menggunakan TikTok sekarang.
Menurut DataTrek Research, TikTok menyaksikan lonjakan terbesar pada carian Google dalam tempoh 90 hari pada akhir April lalu, mengatasi rangkaian sosial popular lain seperti Facebook, Snapchat dan Twitter.
Walaupun aplikasi itu hampir diharamkan di Amerika Syarikat dan didakwa mempunyai banyak ciri copycat, ia terus menjadi kegemaran dalam kalangan pengguna muda, malah menjadi pilihan utama hiburan semasa perintah berkurung COVID-19.
Lebih separuh daripada pengguna TikTok ialah Gen Z, berbanding 39 peratus golongan Millenial. Pertumbuhan dalam kalangan Gen Z juga lebih pantas, meningkat 46 mata antara Januari 2019 dan April 2021, berbanding 36 mata untuk Milenial dalam jangka masa yang sama.
Bagaimanapun, pertumbuhan dalam kalangan Gen Z nampaknya semakin perlahan dan jika pertumbuhan Milenial berterusan, mereka boleh 'mengejar' Gen Z tahun ini. Namun pada masa ini, aplikasi itu kekal didominasi Gen Z.
Terdapat perbezaan antara kedua-dua generasi dengan 46 peratus pengguna berusia 13-19 tahun mengatakan mereka menggunakannya setiap hari berbanding 27 peratus pengguna dalam kalangan usia 20-38 tahun. .
Wanita Gen Z adalah yang paling berkemungkinan menggunakan aplikasi itu, dengan 70 peratus wanita berumur 13-19 tahun menggunakan TikTok berbanding 49 peratus lelaki berumur 13-19 tahun. Wanita Milenial juga dilihat sebagai golongan pengguna yang ramai berbanding lelaki Milenial.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, platform itu menjadi tempat di mana remaja perempuan mencapai kemasyhuran dengan mencipta video tular, antaranya Charli D'Amelio, Addison Rae, Bella Poarch, dan Mooptopia.
Menurut seorang penyelidik media seperti yang dipetik portal Y Pulse, girl culture berleluasa di TikTok, mengubah hidup gadis biasa kepada selebriti dengan ratusan ribu pengikut dalam masa beberapa hari.
Ia sebahagiannya kerana, TikTok mengubah 'budaya' perkara yang mereka lakukan sebelum ini seperti menari dalam bilik tidur, bergurau senda dengan rakan-rakan mereka atau bergaduh dengan ibu bapa, yang selama ini dilakukan secara tertutup, kini menjadi tontonan seluruh dunia.
Untuk rekod, setakat April 2022, TikTok mempunyai lebih 1 bilion pengguna aktif.
#TikTok #Gen Z #milenial #media sosial untuk generasi muda
;