Wanita 73 tahun ini berjalan kaki 4km setiap hari sejak 14 tahun demi 'misi' khas

Agensi
Mac 8, 2020 10:15 MYT
Disebabkan rasa cinta terhadap aktiviti dan usahanya itu, Umadevi (tengah) telah diberikan anugerah oleh bekas Timbalan Menteri Kerala, Oommen Chandy. - Foto: Twitter/@ShashiTharoor
Siapa sangka, sudah lebih 14 tahun Umadevi Antharjanam meluangkan masa melawat ratusan rumah di perkampungan Budhannoor di Kerala, India, hanya untuk mengedarkan buku dan menggalakkan orang ramai membaca.
Umadevi, 73 tahun, dikhabarkan sering kali dilihat membawa payung serta beg yang diisi dengan pelbagai buku dan menziarahi sekurang-kurangnya 220 buah rumah di perkampungan itu.
Ketika ditemubual wartawan Matters India, Umadevi berkata dia akan ke perpustakaan pada setiap jam 3 petang untuk memilih buku-buku untuk disampaikan kepada orang ramai.
“Kebanyakan yang suka mengambil buku dan membaca adalah para ibu dan anak-anak. Kadangkala mereka juga berpesan kepada saya genre buku yang mereka inginkan dan saya akan hantar kepada mereka,” ujarnya.
Kata Umadevi, perpustakaan yang terletak di hujung kampong itu mempunyai buku pebagai subjek – fiksyen, bukan fiksyen, novel detektif dan juga buku mitologikal yang sering dibaca oleh orang dewasa.
Malah, dia juga memastikan semua orang membaca buku yang dibawanya dengan bertanyakan soalan mengenai kandungan buku tersebut kepada mereka selepas seminggu.
Penduduk di perkampungan itu juga merasai kewujudan Umadevi sejak satu dekad lalu.
Mereka juga sering meminta pandangan serta khidmat nasihat kepada Umadevi berkenaan jenis buku yang mungkin anak mereka suka baca.
Selain menghabiskan masa mengedar buku kepada orang ramai, Umadevi juga bekerja di dalam perpustakaan terbabit.
Presiden perpustakaan itu, Viswambharan Panicker berkata Umadevi seorang pekerja yang rajin dan sukakan buku.
“Dia sememangnya ‘kepunyaan’ komuniti di Namboodiri,” katanya.
Ditanya mengenai kenapa dia bertindak melakukan kerja amal itu, Umadevi menceritakan bahawa pada waktu mudanya dia tidak mempunyai peluang untuk membaca kerana kekangan hidup dan menjadi isteri pada usia yang agak muda.
“Saya jarang dibenarkan keluar rumah. Saya berkahwin semasa saya masih seorang pelajar. Keluarga saya merupakan sebuah keluarga yang terlalu mengikuti adat dan tradisi.
“Selepas kematian suami pada 18 tahun lalu, saya tekad untuk melakukan perkara ini,” kata Umadevi.
Disebabkan rasa cinta terhadap aktiviti dan usahanya itu, Umadevi telah diberikan anugerah oleh bekas Timbalan Menteri Kerala, Oommen Chandy.
#berjalan kaki #India #membaca #minat #pelajar #usaha #wanita
;