Wan Hashim berkayuh lagi, kali ini dokumentasi tempat-tempat persinggahan
Bernama
April 5, 2017 07:58 MYT
April 5, 2017 07:58 MYT
Pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood akan melakukan kayuhan sekali lagi - mengelilingi Semenanjung Malaysia, Wilayah Selatan Thailand dan Singapura mulai Sabtu ini (8 April).
Kayuhan kali ini dengan cara dan matlamat agak berbeza.
"Kayuhan ini berbentuk kembara; bagi mendokumentasi tempat-tempat persinggahan yang menarik untuk diterbitkan dalam buku sebagai panduan kepada masyarakat dan pelancong," kata Wan Hashim kepada pemberita di sini, pada Rabu.
"Sebelum ini saya berkayuh basikal secara solo, namun kayuhan kali ini saya akan diiringi oleh wakil daripada Kemudi (Kelab Media Kelantan Darul Naim).
"Kami akan berkayuh sejauh 100 kilometer sehari pada waktu siang manakala waktu malam pula kami berehat," katanya.
Wan Hashim berkata sepanjang kayuhan itu, mereka akan singgah di beberapa tempat bagi menyampaikan sumbangan daripada penaja kepada golongan yang memerlukan.
Wan Hashim, 72, yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan dijadual menghabiskan masa selama 39 hari melibatkan jarak sejauh 3,000 kilometer diiringi Shahuri Awang@Saidi, wakil Kemudi, yang juga jurugambar sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Menurut Wan Hashim, beliau telah membuat persiapan diri sejak Januari lepas untuk kayuhan tersebut.
"Persiapan saya seperti biasa melibatkan soal teknikal, fizikal untuk kecergasan, malah latihan mengayuh basikal pada setiap hari," katanya.
Sementara itu, Shahuri, 31, berkata beliau tertarik untuk menyertai kayuhan tersebut bagi menyumbang kemahirannya (selaku jurugambar) kepada masyarakat melalui gambar-gambar yang diambil sepanjang laluan kayuhan.
"Ia adalah peluang saya untuk merakam tempat menarik untuk dikongsikan kepada masyarakat."
Ini adalah kayuhan jarak jauh pertama buatnya.
Pada 17 Januari 2015, Wan Hashim berjaya menamatkan misi jelajah lima negara Asia Tenggara secara solo selama 49 hari - lebih awal daripada jangkaan asal tiga bulan.
Beliau menamatkan kayuhan sejauh 5,319 kilometer selepas menjelajah Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura, Riau Indonesia, dan Semenanjung Malaysia.
Wan Hashim, pernah diiktiraf sebagai 'Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia oleh Malaysia Book of Records' (MBR) pada April 2014. -- BERNAMA