Walaupun harga RM25 - RM120 seunit, songkok gaya Tun Mahathir tetap jadi pilihan!

Gempak
Mei 28, 2019 08:29 MYT
Sardi berkata, sejak diberikan kebenaran oleh Dr Mahathir untuk membawa namanya pada songok itu pada 2002, kualiti pembuatan songkok itu sentiasa ditambah baik. - Foto BERNAMA
WALAUPUN dijual pada harga RM25 hingga RM120 seunit, ‘Style Tun Songkok Malaysia’ (Songkok Gaya Tun) tetap menjadi pilihan ramai untuk dipakai pada Aidilfitiri ini.
Menurut peniaganya, Sardi Dahar, ‘Songkok Gaya Tun’ kembali menjadi perhatian apabila sebanyak 200 hingga 250 unit songkok itu dijual kepada pelanggan berbanding 150 pada hari biasa.
Sardi menjual songkok di tingkat bawah Kompleks Pekan Rabu, berkata, selain tertera nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 'Songkok Gaya Tun’ mempunyai ciri-ciri tersendiri.
Antaranya ringan, boleh dilipat, tidak kecut serta dibuat daripada baldu yang berkualiti sekaligus menjadikan ia pilihan utama pelanggan yang berkunjung ke gerai itu.
“Songkok Gaya Tun ini juga telah ditambahbaik dengan meletakkan tanda dagangan ‘Style Tun Collection’ dan ‘Prime Minister of Malaysia’ di sisi kiri dan kanan di bahagian dalam songkok, malah pengguna juga boleh menempa nama sendiri pada songkok tersebut pada harga RM150 seunit,” katanya.
Sardi berkata, sejak diberikan kebenaran oleh Dr Mahathir untuk membawa namanya pada songok itu pada 2002, kualiti pembuatan songkok itu sentiasa ditambah baik bagi memberi kepuasan kepada pelanggan.
Sardi mula berkecimpung dalam pembuatan songkok sejak berusia 18 tahun dan mewarisi kemahiran membuat songkok dari arwah bapanya yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia.
“Saya pernah ditegur oleh pelanggan yang mahukan kelainan dan selepas beberapa kali percubaan saya tampil dengan reka bentuk yang turut menawan hati Dr Mahathir, malah menjadi pelanggan tetap sejak lebih 25 tahun lalu. - Sumber: Bernama
#Aidilfitri #Mahathir Mohamad #Raya #songkok #songkok gaya Tun #Style Tun Collection
;