Wahai perokok, amal 5 langkah ini untuk berhenti merokok
Najmi Syahiran Mamat
Jun 3, 2020 17:00 MYT
Jun 3, 2020 17:00 MYT
KETAGIHAN merokok antara satu tabiat yang paling sukar dan mencabar untuk diatasi dalam kalangan sebilangan perokok.
Golongan yang mempunyai ketagihan ini terutama perokok tegar pasti tahu bagaimana rasa di saat mereka mencuba untuk berhenti dari merokok.
Mengikuti perkembangan isu semasa, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini mendedahkan satu hasil kajian pihaknya bahawa terdapat kanak-kanak di negara ini seawal umur lima hingga tujuh tahun sudah sudah pandai menghisap rokok.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V Subbarow berkata, fakta tersebut merupakan hasil dapatan daripada tinjauan yang dibuat oleh pihaknya berkenaan penggunaan rokok dalam kalangan belia.
Fakta ini secara jelas amat membimbangkan kerana sekali terjebak, pasti sukar bagi individu untuk berhenti tabiat itu yang boleh menyebabkan seorang kanak-kanak kekal merokok sehingga dewasa.
Salah satu sebab yang kuat mengapa anda perlu berhenti adalah kerana analisa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa golongan perokok berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti COVID-19.
Selain menanam niat dan matlamat yang jelas, berikut Astro AWANI kongsikan beberapa teknik yang betul untuk berhenti merokok seperti dipetik dari portal Hellodoktor.com.
Teknik 1: Mempunyai perancangan mengikut keinginan waktu dan jaga pemakanan
Jika keinginan itu muncul semasa waktu kerja, maka akan lebih mudah untuk mula berhenti pada hujung minggu.
Sebaliknya, jika anda merasakan keinginan untuk merokok pada hujung minggu atau tempat kerja anda tidak membenarkan merokok, maka Isnin atau mana-mana hari kerja akan jadi hari yang sempurna untuk berhenti merokok.
Bagi orang beragama Islam, bulan Ramadan, umpamanya, boleh memberikan satu momentum yang tepat bagi anda untuk berhenti.
Selepas menetapkan tarikh berhenti, berikan pula perhatian lebih kepada pemakanan anda.
Ambil lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran serta minum susu kerana ia mampu mengurangkan kecenderungan untuk merokok.
Teknik 2: Minta sokongan
Beritahu keluarga dan rakan-rakan mengenai keputusan anda berhenti merokok dan minta sokongan mereka.
Luangkan masa dengan orang yang berjaya melepaskan diri daripada tabiat merokok dan minta nasihat.
Teknik 3: Kekalkan sibuk
Kebanyakan mereka yang gagal dengan percubaan untuk berhenti adalah kerana hakikatnya mereka merokok apabila merasa bosan dan tertekan.
Justeru, jangan biarkan diri anda mencari bantuan daripada nikotin. Alihkan diri dengan menyertai aktiviti fizikal yang sememangnya memberi manfaat kepada kesihatan, selain mengubah emosi negatif anda.
Tambahan pula, buat sesuatu aktiviti bagi mengalih fikiran untuk melupakan rokok.
Teknik 4: Jauhi dari sebarang perkara yang menjadi pencetus merokok.
Jangan tinggal bersama perokok dan berada di tempat merokok terlalu lama. Mereka boleh mencetuskan kembali keinginan untuk merokok.
Sebaliknya, luangkan masa dengan orang yang tidak merokok atau orang yang berjaya berhenti merokok.
Walaubagaimanapun, teknik ini tidak akan menjadi sekiranya anda masih memegang rokok, pemetik api dan bekas rokok bersama anda.
Teknik 5: Beri ganjaran kepada prestasi anda
Berhenti merokok tidak semudah yang anda harapkan. Oleh itu, setiap hari berlalu tanpa rokok atau tembakau adalah satu kejayaan.
Ingatlah untuk memberi penghargaan kepada diri sendiri.
Anda boleh cuba gantikan wang yang biasanya anda habiskan untuk merokok dengan membelanjakannya kepada perkara lain yang lebih perlu.
Sementara itu, meskipun sudah banyak fakta-fakta dan bukti kajian yang menceritakan kepada kita tentang bahaya dan kegusaran isu ini, namun ia tetap berbalik kepada sikap dan keinginan anda sendiri.
Terbaharu, satu berita membanggakan dilaporkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah iaitu seramai 400 perokok telah mendaftar bagi mendapatkan bantuan berhenti merokok atas talian.
Malah, terdapat lebih 5,000 orang telah melayari laman sesawang www.jomquit.moh.gov.my sepanjang tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP).
Syabas diucapkan kepada anda yang tekad berbuat demikian demi keselamatan nyawa anda dan keluarga!
#Belia
#gaya hidup
#henti meroko
#Kanak-kanak
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#koronavirus
#merokok
#perokok tegar
#tip berhenti merokok