Wahai kaum wanita, ini tip pilih baju raya agar nampak 'terletak'

Faida Rahim
April 20, 2023 14:39 MYT
Pereka fesyen Suzie Eryanty berkongsi beberapa tip berguna kepada pembaca Astro AWANI mengenai pemilihan busana Raya sesuai untuk lebaran.
KUALA LUMPUR: Dilema para wanita setiap kali memilih busana digayakan pagi raya, pasti bikin pening kepala.
Maklumlah, Ramadan sudah berada di penghujung dan Syawal akan tiba dalam masa terdekat.
Namun begitu, pencarian busana raya last minute begini bukan alasan untuk membeli sekadar 'tangkap muat'. Pemilihan busana untuk digayakan pagi raya nanti biarlah sedap mata memandang.
Pereka fesyen Suzie Eryanty Suleiman berkongsi beberapa tip berguna kepada pembaca Astro AWANI mengenai pemilihan busana raya yang bersesuaian sempena lebaran.
1) Bidang lebar
Untuk mereka yang mempunyai bahu jenis bidang besar, elakkan daripada memakai busana mempunyai detailing di bahagian bahu seperti puff sleeve.
Sebaliknya, pilih busana dengan detailing di bahagian bawah seperti kain yang kembang. Oleh itu, mata orang sekeliling tidak tertumpu di bahu yang bidang.
Elakkan memakai rekaan peplum kerana akan menampakkan si pemakai lebih pendek dan bahu akan nampak lebih lebar.
2) Dada lebar
Elak daripada memakai busana mempunyai potongan tepat di bawah dada kerana akan membuat dada lebih menonjol.
Sebaliknya cuba pakai busana yang tidak mempunyai potongan di bahagian pinggang seperti kurung moden dengan ‘puff shoulder’. Jika bercorak, pilih rekaan dengan corak bunga kecil atau garisan ke bawah.
3) Tubuh tinggi dan langsing
Kepada wanita bertubuh kurus tinggi, elakkan daripada memilih busana terlalu mengikut potongan badan.
Pilihan seperti kurung Kedah atau kurung Kedah pasti membuatkan si pemakai lebih menawan.
Potongan badan begini sesuai sekiranya ada detailing di bahagian badan.
Lebih menarik lagi, si pemakai boleh memilih busana dengan corak melintang dan warna cerah.
Jika tubuh terlalu tinggi, elok dipadankan dengan skirt paras buku lali untuk menampakkan ilusi sedikit rendah.
4) Rendah, gempal
Kepada pemilik tubuh yang rendah dan gempal pula, elakkan daripada mengenakan busana dengan corak yang terlalu sarat terutama pada kain supaya si pemakai tidak kelihatan lebih rendah.
Jika bercorak, contohnya bunga, pilih corak kecil, garisan ke bawah serta warna gelap.
Elak juga memakai pakaian terlalu ketat yang melekat di badan.
Bagi yang memiliki bentuk tubuh begini, pilihan kurung moden pendek dengan kain design mermaid dipadankan kasut tumit tinggi adalah pilihan lebih tepat.
5) Tubuh kecil molek
Terlalu banyak detailing terutama di bahagian kain kerana si pemakai akan nampak ‘sarat’. Pilih hanya satu bahagian untuk ditonjolkan.
Contoh, baju peplum dgn kain mermaid. Jika bercorak, elak corak terlalu padat dan pilih corak bunga besar untuk nampak lebih ‘terletak’.
6) Perut buncit
Bayangkan di pagi Syawal pasti kita semua mahu menikmati hidangan yang enak bukan?
Sekiranya berdepan dengan masalah perut buncit, jangan sesekali cuba memakai busana terlalu ketat di bahagian perut.
Pilihan yang ideal adalah rekaan peplum yang sesuai untuk ‘cover’ perut anda.
Pilihan terbaik adalah kurung kedah, kaftan, jubah atau kebarung. Barulah nampak elegan!
#Astro Awani #pereka fesyen #baju raya 2023 #satu Syawal
;