'Wa', 'Lu', 'kencing', 'Bro' dan tersalah emoticon: Cabaran kesantunan dalam media sosial
Azura Halid
Januari 29, 2019 17:23 MYT
Januari 29, 2019 17:23 MYT
MENURUT Kamus Dewan, perkataan ‘santun’ membawa makna halus budi pekerti; beradab; rasa belas kasihan terhadap orang lain. Kesopanan berbahasa merujuk pada penggunaan bahasa yang baik, sopan dan beradab supaya tingkah laku tersebut memancarkan keperibadian kita yang mulia selain sebagai penghormatan kepada pihak yang dilawan bicara.
Santun merujuk pada tutur kata, bahasa badan dan suara. Kesantunan berbahasa dalam apa-apa jua keadaan membina satu segmen budi bahasa, bertutur dalam keadaan yang sopan dan berhemah, tidak memaki-hamun dan tidak menggunakan kata yang kesat atau tidak senonoh.
Perkataan ‘kahwin’ sama juga maksudnya dengan ‘nikah’, ‘bersuami’ atau ‘berbini’. Perkataan nikah digunakan bagi menyatakan hasrat sebuah perkahwinan. Contoh penggunaannya, “Kami nak bernikah.” Ungkapan tersebut lebih sopan dan manis berbanding jika kita mengungkapnya dengan ayat “Aku nak berbini.”
Namun tidak pula menjadi satu kesalahan apatah lagi jika ungkapan tersebut dinyatakan terhadap orang yang rapat dengan kita dan dalam konteks tidak rasmi. Ungkapan tersebut lebih mesra.
Dalam perbualan harian atau borak biasa di ruang tertutup, kita boleh sahaja menggunakan kata ‘kencing’ untuk membawa maksud ‘buang air kecil’. Namun dalam konteks rasmi atau dengan orang yang dihormati, hal tersebut dianggap tidak sopan kerana kita dididik menggunakan ayat yang lebih santun iaitu, “Saya nak buang air kecil.”
Namun begitu, dalam situasi tertentu, kata ‘kencing’ itu boleh sahaja digunakan sebagai ‘kencing manis’ yang membawa maksud penyakit diabetes. Perkataan tersebut tidak pula membawa konotasi yang buruk atau menjatuhkan maruah seseorang kerana istilah tersebut telah diiktiraf sebagai istilah perubatan. Begitulah metaforanya.
Media sosial meskipun bersifat laman peribadi, namun kita tetap memerlukan unsur-unsur kesopanan dan kesantunan ketika berbicara atau berkomunikasi bersama-sama kenalan. Aspek komunikasi berkesan melalui diksi dan emoticon sangat penting terutama pada penggunaan kata ganti nama.
Penggunaan bahasa emoticon dijadikan perlambangan bahasa bagi maksud tertentu. Kesilapan menggunakan emoticon juga boleh disalahertikan oleh penerima mesej. Di situlah nilai moral kita akan dipandang. Aspek tatabahasa juga penting supaya mesej yang disampakaikan mudah difahami dan tidak disalah anggap.
Ada antara kenalan di media sosial yang merupakan kenalan rapat, ada juga yang dikenali sekadar adanya, ada juga yang berstatus saudara-mara dan adik-beradik. Terdapat juga individu yang bergelar atau berpangkat yang sangat perlu dijaga air mukanya.
Oleh yang demikian, sewajarnya penggunaan bahasa dalam media sosial menepati kehendak kesantunan yang bertepatan dengan status kenalan sapaan yang diajak berinteraksi itu.
Hantaran, ciapan dan komen dalam jalinan media sosial yang boleh diakses oleh sesiapa pun di seluruh dunia sewajarnya digarap menggunakan bahasa yang santun, baik dari segi struktur ayatnya, keramahan menyapa, penggunaan kata ganti nama dan sebagainya.
Tidak menjadi satu kesalahan jika seseorang yang dianggap terlalu rapat dengan kita, disapa dengan sapaan ‘sis’, ‘bro’, ‘engkau’, ‘aku’, ‘wa’, atau ‘lu’. Yang menjadi tidak sopannya jika orang yang bergelar seperti Tan Sri, Datuk atau Yang Berhormat disapa dengan panggilan yang jelik atau nama jolokan yang tidak diiktiraf yang boleh menjatuhkan air muka atau mendatangkan aibnya. Hal seperti itu sudah acap kali berlaku di media sosial kerana terdorong oleh emosi individu.
Sesetengah individu menganggap media sosial sebagi wadah peribadi apabila didaftarkan atas nama individu. Sebahagian masyarakat pula menganggapnya sebagai medium rasmi bagi sesebuah organisasi dan badan sosial tertentu.
Apa-apa pun alasan dan apa-apa pun definisinya bagi media sosial itu, interaksi kita pada medium terbuka haruslah selari dengan adab dan sopan sebagai warganegara yang patuh pada prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan.
Disebabkan cakupan media sosial itu luas dan netizennya bersifat bebas, kita wajar berbicara dengan baik dan tidak melanggar norma kesusilaan sebagai individu yang mampu mendidik generasi akan datang dengan leluhur budi yang sebatas dengan budaya bangsa.
Cacian dan kata kasar yang menyinggung perasaan orang lain wajar dielakkan. Gelaran yang menjatuhkan maruah individu tertentu seharusnya tidak digunakan dalam kalangan netizen. Gurauan yang melampaui batas serta menyentuh sensitiviti kaum dan agama tidak wajar digunakan.
Mengapakah nenek moyang kita gemar menggunakan bahasa yang berlapis dan berlapik untuk menasihati atau berkomunikasi antara satu sama lain? Tidak lain dan tidak bukan kerana mereka mahu menjaga perasaan orang yang dilawan bicaranya dan menghormati peribadi orang lain.
Sering kali mereka menggunakan kata-kata indah untuk membetulkan keadaan atau menggunakan pantun sebagai cabang ilmu komunikasi. Amalan seumpama ini semakin hari semakin dipinggirkan lantaran ledakan teknologi dan sistem langit terbuka yang kita amalkan sekarang.
Masyarakat lebih cenderung melawan arus dan merasakan segala-galanya perlu disegerakan. Disebabkan oleh hal itulah, maka lahirnya masyarakat yang tidak lagi memikirkan tentang kesan daripada komunikasi yang lahir daripada lidah mereka sendiri.
Bukan sahaja mereka menolak kesopanan berbicara, malahan menggunakan perkataan dan ayat yang paling ringkas dalam interaksi mereka sehingga bahasa menjadi carca-marba dan kesantunannya tenggelam begitu sahaja.
Masyarakat perlu difahamkan tentang maruah bahasa yang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap cara masyarakat yang menuturkannya dalam hal ehwal pengurusan hidup mereka. Bentuk dan penggunaan bahasa tertentu dalam satu-satu bahasa akan mendedahkan serta menyedarkan masyarakat itu pada idea dan gagasan tertentu.
Bahasa mempunyai bentuk yang berkaitan dengan fahaman dan budaya menghormati orang lain. Hal ini memperlihatkan kesedaran dan tanggungjawab yang lebih tinggi dalam kalangan penuturnya.
* Azura Halid ialah seorang pencinta bahasa yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#bahasa
#era digital
#generasi muda
#jiwa bangsa
#kesantunan
#Kolumnis AWANI
#masyarakat Melayu
#media sosial
#sopan