Viral gantung buaian dalam MRT, ini adab naiki pengangkutan awam jika tak tahu

Madiha Abdullah
Julai 24, 2017 07:25 MYT
10 panduan untuk rakyat Malaysia singkirkan pemikiran 'apa aku peduli' ketika menggunakan pengangkutan awam.
PADA Ahad lepas, Astro AWANI melaporkan tentang vandalisme yang berlaku di stesen MRT dan di dalam tren MRT, tidak sampai seminggu perkhidmatan itu beroperasi.
Bagaimanapun, vandalisme bukan satu-satunya minda kelas ketiga yang dimiliki rakyat Malaysia. Terbaharu, tular pula sekeping gambar ibu bapa yang menyangkut buaian di dalam tren MRT.
Hakikatnya, apa yang berlaku adalah kerana sikap tidak peduli yang ada dalam segelinitir anggota masyarakat.
Sampah dibuang tanpa ada rasa malu, pili air di tandas dicabut, kerusi ditoreh... kerana dalam fikiran mereka, 'apa aku peduli'.
BACA: Vandalisme MRT: 'Fasiliti kelas pertama dan minda kelas ketiga'
BACA: Kerusi ditoreh, dinding dicalar: Tak sampai 150 jam beroperasi, stesen MRT diancam vandalisme
Astro AWANI berkongsi peringatan berikut untuk anda yang menggunakan pengangkutan awam, bukan sahaja untuk menjaga harta benda awam, tetapi juga untuk memastikan air muka anda terjaga di mata masyarakat.
Jadilah masyarakat dengan mentaliti terpuji, bersama etika dan disiplin yang terhormat. Kemudahan kelas pertama perlu diiringi dengan rasa syukur serta penggunaan yang tinggi nilai peradabannya.
Teliti panduan dan senario berikut dan belajarlah sesuatu... Anda boleh menjadi rakyat Malaysia yang hebat!
1) KIRI DAN KANAN
Ketika berada di atas eskalator, pastikan anda berdiri di sebelah kiri. Hormati laluan kanan kerana ia adalah laluan fast lane. Macam mana anda memandu di atas jalan raya, samalah 'undang-undang tak bertulis' itu tentang menggunakan eskalator.
2) 'GELABAH' DEPAN PINTU
Beratur di bahagian sisi pintu dan beri laluan pengguna dalam tren untuk keluar terlebih dahulu. Logiknya, jika anda yang berada di luar terlepas tren, anda masih boleh menaiki tren yang seterusnya. Tetapi lain ceritanya jika mereka yang berada di dalam tren terlepas stesen, mereka terpaksa turun di stesen lain dan mungkin terpaksa membayar tambang yang lebih untuk kembali ke stesen asal. Kasihan bukan?
Ingatlah, bukan anda saja yang mahu cepat. Bukan anda seorang yang ada urusan.
3) LAPAR YA? SABAR!
Makan dan minum di dalam tren adalah dilarang. Semua orang tahu. Kalau lapar sekalipun, tahanlah. Ini tren, bukan restoran makanan segera. Jangan pula ada yang bawa makanan yang berbau kuat dan makan penuh nafsu sewaktu berada di dalam gerabak. Kalau dibungkus, pastikan makanan itu dibungkus dengan kemas dan peganglah dengan berhati-hati.
Oh ya, MRT sekarang sudah melalui Kajang juga, kita tidak mahu nanti ada kes kuah sate Kajang terpercik atau tertumpah atas tempat duduk!
4) ADAB KEBERSIHAN DIRI
Tutup mulut anda apabila batuk, bersin atau menguap. Terutama sekali ketika waktu puncak kerana pengguna tren akan saling berasakan dan berdiri rapat. Orang lain memang tak mahu 'direnjis' dengan cecair dari mulut dan hidung anda. Ini adab yang sepatutnya tidak perlu diajar lagi.
5) KISAH SI PENGANGKANG
Jika tren penuh sesak, tetaplah beringat bahawa satu tempat duduk untuk satu punggung. Peringatan ini khususnya untuk mereka (khususnya lelaki) yang gemar duduk 'mengangkang'. Sedarlah, kerusi tren tak sebesar sofa di rumah anda. Takkan hilang kelelakian anda jika duduk sopan dan merapatkan kaki.
Oh, dan ingat, tempat duduk juga untuk manusia. Bukan untuk beg. Beg yang besar-besar tu letak sahaja di atas lantai atau pangku sahaja di atas riba.
6) BUKAN TAMAN PERMAINAN
Tolong kawal keghairahan dan kenakalan anak-anak anda. Walaupun banyak 'perkakasan' di dalam tren, ia bukanlah taman permainan. Jangan benarkan mereka memanjat, terutama kerusi yang diduduki orang ramai. Kasut anak anda yang entah ke mana sudah menapak, dibiarkan pula memijak kerusi yang menjadi tempat duduk orang lain. Beringatlah tentang konsep najis. Jijiklah!
7) JANGAN MENJERIT BOLEH TAK?
Nak berborak sesama rakan, atau hendak berbual di telefon? Silakan, tapi tak perlulah sampai bersuara 'halilintar' ataupun bertempik dengan menggunakan speaker telefon bimbit anda. Ironinya, apabila dipandang, tahu pula marah dan tuduh orang lain menyibuk. Eh, orang tak nak tahu pun topik perbualan anda.
8) BERHIMPIT DEPAN PINTU DAH KENAPA?
Ketika tren penuh sesak, bergerak masuk ke bahagian tengah tren. Tak perlulah 'cop' tempat di depan pintu. Ia tindakan yang menyusahkan orang lain dan sangat mementingkan diri.
Dalam tren akan ada pemberitahuan atau papan notis tentang stesen yang akan disinggahi, maka apabila menghampiri stesen yang hendak anda tuju, mulalah bergerak perlahan-lahan dari bahagian tengah gerabak ke pintu. Jangan pula dalam minit-minit terakhir baru terhegeh-hegeh mahu keluar... kerana anda akan menjejaskan aliran pergerakan orang lain.
9) WAKIL BELI TOKEN
Kalau travel berkumpulan, cukup hantar seorang wakil untuk beli token. Tak perlulah sampai 10 orang beratur.
10) JANGAN TAMAK TEMPAT DUDUK
Yang terakhir sekali, berilah tempat duduk kepada yang lebih memerlukan. Ada wanita hamil, ada warga tua, ada orang kelainan upaya, hormatilah mereka. Jangan hendak 'mencuri' hak orang lain dan kemudian berpura-pura tidur, atau buat-buat sibuk dengan telefon. Itu trick lama dan sangat lame.
11) TANGAN NAKAL
Hentikan dan lupakan saja perangai dan keinginan pelik anda untuk memusnah! Kemudahan yang sudah disediakan perlu dijaga demi keselesaan orang ramai dan untuk digunakan bagi tempoh yang lama. Jangan melakukan perbuatan vandalisme atau laku musnah seperti menconteng, mencalar, mengopek, mengikis, memecahkan sesuatu objek atau peralatan, atau mengotori kawasan.
#adab #disiplin #etika #LRT #MRT #panduan #pengangkutan awam #Vandalisme
;