Video pendek ubah kehidupan Muhammad Syahmi
Bernama
Julai 19, 2019 04:00 MYT
Julai 19, 2019 04:00 MYT
Siapa sangka video lakonan pendek berdurasi kira-kira seminit yang kemudiannya tular di laman sosial mengubah kehidupan Muhammad Syahmi Sazli, 24, menjadi antara 'YouTubers' yang dikenali di negara ini.
Bekas pelajar Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata idea untuk menghasilkan video itu bermula pada 2016 ketika beliau dan dua rakan perempuannya sedang membuat tugasan kursus di sebuah restoran makanan segera.
"Video pendek berkenaan tentang seorang lelaki yang menghina kekasihnya kerana tidak mempunyai rupa paras yang cantik. Saya merakam video berkenaan menggunakan telefon pintar dan membuat suntingan menggunakan gajet berkenaan sebelum memuat naik di laman sosial Facebook.
"Mana tahu tiba-tiba video berkenaan menjadi tular sehingga mendapat lebih 300,000 tontonan di aplikasi berkenaan dan sejak dari itu kehidupan saya mula berubah," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kampung Gertak Kechupu di sini, pada Jumaat.
Anak kedua daripada lima beradik yang berasal dari Kampung Gertak Kechupu itu berkata walaupun tidak sempat menghabiskan ijazah sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Elektrik itu, beliau bersyukur kerana celik teknologi dan memanfaatkannya untuk menjana pendapatan sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.
Muhammad Syahmi, yang kini mempunyai tiga pekerja di syarikat penerbitannya bersyukur kerana kos jalur lebar kini lebih murah berbanding dahulu.
"Contohnya, saya hanya membelanjakan kira-kira RM150 sebulan untuk penggunaan data jalur lebar yang mempunyai kepantasan yang tinggi. Kadang-kadang ada video yang mempunyai fail yang besar sehingga mencecah 1 gigabait (gb) namun dapat dimuat naik dalam tempoh yang singkat.
"Selain itu, dengan kemudahan jalur lebar juga, saya dapat membuat penyelidikan tentang sesuatu perkara seperti olahan skrip atau plot drama dengan lebih baik," katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Syahmi berkata selepas video pertamanya itu tular, beliau kemudiannya membuat beberapa video lain dan sehingga kini mempunyai kira-kira 300 video pendek berdurasi antara empat hingga 15 minit yang dimuat naik di YouTube.
Antara segmen video beliau termasuklah siri 'Drama Spontan', 'Mail Totey' dan 'Ronnie Rongok' yang berkisar mengenai masalah sosial namun dibawakan dalam bentuk komedi yang menarik ramai tontonan sehingga mencapai jutaan tontonan.
"Malah, pada 26 Jun lepas, YouTube menganugerahkan 'YouTube Gold Play Button' selepas pengikut di saluran saya mencecah sejuta orang dan ia merupakan pencapaian yang membanggakan saya," katanya.
Muhammad Syahmi berkata bagi siri dramanya, beliau menggunakan bakat-bakat tempatan yang langsung tidak mempunyai sebarang asas dalam teknik lakonan.
"Contohnya seperti Asif (Mohd Asyiff Suhaimi, 17) yang merupakan sepupu saya sendiri. Menariknya, Asif merupakan remaja yang mempunyai masalah Autisme dan sangat pemalu untuk bergaul dengan orang ramai.
"Dia sering dilihat bermain layang-layang atau gendang seorang diri. Kerana sifat malunya yang tinggi, Asif sering melarikan diri ketika saya mengajak membuat 'live' di Facebook namun selepas beberapa kali, saya berjaya memujuknya untuk turut serta," katanya.
Katanya bermula dari situ, beliau kemudiannya mengajak Asif untuk menyertai beberapa siri drama pendeknya pada Jun tahun lepas kerana sifat kelakar Asif yang sering mencuit hati pengikutnya di laman sosial.
"Selain itu, ada beberapa pelakon lagi seperti Sai (Nusaibah Kamar, 25) dan Wanie (Anis Syazwani Rohaimie, 22) yang turut serta dalam drama pendek yang saya hasilkan. Saya bertemu Sai ketika sedang berkunjung ke sebuah spa dan secara spontan mengajaknya untuk sama-sama berlakon dan beliau kini mempunyai pengikut tersendiri di laman sosial Instagram," katanya.
-- BERNAMA
#aplikasi
#edit
#Facebook
#Instagram
#kos jalur lebar
#laman sosial
#pelajar
#remaja
#syarikat penerbitan
#tontonan
#tugasan kursus
#UiTM
#UiTM Shah Alam
#video
#YouTube